suria

Cikgu ‘sakau’ aset sekolah, hampir RM60,000 masuk poket sendiri... Ambil masa 6 bulan jual dron, komputer dan kamera

Kemudahan komputer di sekolah disediakan bagi membantu proses pembelajaran digital dan teknologi maklumat. -Gambar hiasan AI

SEORANG bekas guru sekolah rendah dikenakan hukuman denda selepas didapati bersalah menyeleweng dan menjual aset milik sekolah bernilai 21.12 juta won (kira-kira RM59,720).

Menurut laporan media tempatan pada Ahad, Mahkamah Daerah Incheon di Korea Selatan menjatuhi denda sebanyak 2.5 juta won (RM7,069) ke atas wanita berusia 50 tahun itu selepas mendapati dia melakukan kesalahan pecah amanah selama enam bulan bermula September 2023.

Kesalahan itu dilakukan ketika dia bertugas di sebuah sekolah rendah di Ganghwa-gun, Incheon.

Berdasarkan rekod, tertuduh didakwa menjual peralatan pendidikan milik sekolah termasuk dron, kamera dan komputer riba.

Kesemuanya dijual sebagai barangan terpakai sebelum hasil jualan itu dimasukkan ke dalam 'poket' sendiri.

Perbuatannya terbongkar selepas pihak sekolah menyedari beberapa peralatan penting hilang dalam simpanan.

Susulan daripada kes itu, Pejabat Pendidikan Metropolitan Incheon memutuskan untuk memecat tertuduh pada Jun lalu.

Keputusan itu merupakan hukuman disiplin paling berat terhadap penjawat awam di Korea Selatan.

Walau bagaimanapun, tertuduh telah memfailkan rayuan bagi mencabar keputusan berkenaan.

Malah pihak pendakwaan sebelum ini menuntut hukuman denda sebanyak 5 juta won (RM14,138).

Namun ia diringankan selepas mahkamah mengambil kira faktor mitigasi termasuk tindakan tertuduh memulangkan semula barangan yang dicuri atau menggantikannya dengan nilai setara.

Mahkamah turut mengambil kira rekod perkhidmatannya sebagai guru yang disifatkan agak baik selain tidak pernah mempunyai sebarang rekod jenayah sebelum ini. -Agensi

Artikel Lain