suria

Cikgu muzik doa anak murid dijangkiti selesema digantung tugas... Mesej rungutan di aplikasi sembang tular

Tugas seorang guru bukan sekadar menyampaikan ilmu tetapi juga membimbing dan membentuk sahsiah murid. -Gambar hiasan AI

SEORANG guru sekolah rendah digantung sementara daripada tugas selepas tindakannya memaki hamun murid-murid yang dianggap 'nakal' serta mendoakan mereka dijangkiti selesema.

Menurut laporan media tempatan, guru berkenaan dikenali sebagai Li merupakan tutor muzik di Sekolah Daerah Gaoxin di Tongchuan, wilayah Shaanxi, barat laut China.

Li pada mulanya sekadar meluahkan perasaan tidak puas hati menerusi satu kumpulan sembang mencari jodoh yang mempunyai kira-kira 100 ahli.

"Para pelajar sangat nakal dan terlalu bising. Saya kasihan dengan gegendang telinga saya. Saya harap mereka semua dijangkiti selesema. Keluar dan pulang ke rumah dengan segera," tulisnya dalam kumpulan sembang itu.

Kenyataannya itu mengundang kritikan daripada beberapa ahli kumpulan. 

Namun, Li membalas dengan nada defensif, mengatakan bahawa dia tidak peduli selagi menerima gaji.

"Saya tidak kisah walaupun anda laporkan perkara ini kepada pihak atasan saya. Jika anda yang terpaksa menanggung pekerjaan ini, anda juga akan berbuat demikian," katanya.

Apabila ditegur bahawa sikap sedemikian mungkin menyebabkannya tidak bertahan lama dalam kerjaya perguruan, Li menyatakan bahawa dia memiliki kontrak pekerjaan tetap.

Perbualan tersebut kemudiannya ditularkan beberapa ahli kumpulan, sekali gus mencetuskan reaksi balas orang ramai terhadap sikap guru berkenaan.

Susulan kejadian itu, pihak sekolah mengesahkan bahawa Li telah digantung sementara daripada tugas mengajar.

Seorang jurucakap pihak berkuasa pendidikan tempatan memaklumkan pada 15 Disember lalu bahawa siasatan telah dijalankan berhubung insiden tersebut.

"Selepas siasatan selesai, keputusan akan diumumkan kepada umum," katanya. -Agensi

Artikel Lain