DUA lelaki yang digelar 'geng Grindr paling prolifik di London' dijatuhi hukuman penjara selepas menggunakan aplikasi temu janji songsang itu untuk melakukan jenayah rompakan.
Rahmad Khan Mohammadi, 23, dan Mohammed Bilal Hotak, 21, mencuri telefon, pasport dan dompet dalam 55 kes pecah rumah dan penipuan, dengan jumlah kerugian sebanyak £68,000 (RM371,280).
Malah, kesemua kes jenayah itu berlaku dalam tempoh enam bulan sahaja.
Berdasarkan fakta kes, dua warga Afghanistan itu memperdaya mangsa-mangsa lelaki dan masuk ke rumah mereka dengan mengatur pertemuan melalui aplikasi Grindr.
Dalam pertemuan itu, mereka memujuk mangsa membuka telefon untuk memainkan muzik.
ARTIKEL BERKAITAN: Tak faham maksud mesej, rider sangka pelanggan nak belanja... Rupanya gay gersang ajak buat benda tak senonoh
Kemudian, mereka meminta mangsa untuk mandi sebelum hubungan seks.
Ketika mangsa sedang mandi, mereka melakukan rompakan dan terus melarikan diri.
Mereka turut menggunakan kad debit dan kredit yang dicuri dan mengakses akaun bank mangsa untuk mengambil wang mereka melalui pemindahan tunai.
Pihak pendakwa, David Patience, memaklumkan salah seorang mangsa dimasukkan ke hospital gara-gara tekanan perasaan kerana menjadi mangsa dua lelaki itu.
Pada akhir perbicaraan 22 Disember lalu, Hakim Mahkamah Isleworth Crown, Adenike Bologun menetapkan hukuman penjara lapan tahun setengah ke atas dua lelaki berkenaan.
Menurut Hakim, jenayah itu menunjukkan kebencian terhadap mangsa berdasarkan orientasi seksual mereka, sambil menambah “ini adalah kesalahan yang bersifat oportunistik.” -Agensi.


