SEORANG jemaah lelaki cedera selepas melakukan cubaan untuk terjun dari tingkat atas Masjidil Haram, di Makkah pada Khamis.
Menerusi rakaman tular, jemaah itu kelihatan jatuh di atas seorang anggota keselamatan yang cuba menyelamatkannya dari aras bawah.
Kedua-dua individu itu segera dibawa ke hospital untuk menerima rawatan perubatan.
Dalam kenyataan di X, Emiriah Wilayah Makkah memaklumkan Pasukan Khas Keselamatan Masjidil Haram bertindak segera sebaik lelaki itu cuba terjun dari aras atas.
Menurut kenyataan itu, anggota keselamatan yang cedera mengalami patah tulang dan semua tindakan perundangan yang perlu telah diambil.
Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi menambah, Pasukan Khas bertindak pantas mengawal keadaan dan memastikan keselamatan para jemaah.
Direktorat Keselamatan Awam Arab Saudi turut berkongsi video berkenaan dan memaklumkan pasukan keselamatan bergerak pantas menguruskan insiden tersebut.
Menurut Khaleej Times, Imam Besar Masjidil Haram, Abdur Rahman As Sudais, kemudiannya mengulas mengenai kejadian itu dengan menyeru para jemaah agar menghormati kesucian Masjidil Haram, mematuhi peraturannya dan memberi tumpuan kepada ibadah.
Beliau menegaskan bahawa menjaga nyawa merupakan teras ajaran Islam sambil merujuk ayat al Quran, 'Dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan dengan tangan kamu sendiri'. -Agensi.


