SEORANG lelaki warga emas berusia 80-an ditemui dalam keadaan menyayat hati apabila rumahnya bukan saja dipenuhi timbunan sampah-sarap, malah tidak mempunyai bekalan air serta elektrik.
Keadaan warga emas tersebut didedahkan oleh sukarelawan daripada organisasi Keeping Hope Alive, Fion Phua, yang membuat lawatan untuk membantu membersihkan flat milik lelaki berkenaan di North Bridge Road, Singapura.
Menerusi perkongsian di Facebook, Phua berkata warga emas berkenaan hidup tanpa kemudahan elektrik, air dan gas sejak lebih 10 tahun.
Dia turut memuat naik beberapa gambar dan video, memaparkan unit yang didiami warga emas berkenaan dipenuhi sampah dari lantai hingga ke siling, selain kehadiran lipas, cicak dan serangga lain.
Disebabkan ketiadaan air, Phua berkata pasukan sukarelawan terpaksa mengambil air dari unit jiran untuk membersihkan rumah tersebut.
Bau busuk yang kuat turut menyebabkan jiran-jiran menutup hidung ketika melalui kawasan itu.
Menurut seorang lagi sukarelawan, Shin Min, warga emas tersebut yang menetap di flat berkenaan sejak 1979, terpaksa tidur di koridor kerana tiada ruang, katil atau bantal di dalam rumah.
Warga emas itu memberitahu sukarelawan bahawa dia hanya membersihkan diri di tandas awam dan mencuci pakaian dengan berjalan di bawah hujan dan kemudian berjemur di bawah matahari untuk mengeringkan badan serta pakaiannya.
Phua menambah tugas pembersihan rumah tersebut selesai selepas enam jam, selain menggambarkan detik itu benar-benar menyentuh perasaan.
Ujarnya, kes tersebut antara yang paling menyayat hati pernah dihadapi pasukan sukarelawan, sambil menggesa masyarakat agar lebih peka terhadap keadaan jiran sekeliling terutamanya yang tua dan sebatang kara. -Agensi


