suria

“Saya tak terfikir minta derma” - Ibu gigih gulung tart nenas, cari duit nak buat MRI anak di hospital swasta

Tuan Syarifah Azwa ketika menjalani rawatan baru-baru ini.

TIADA ibu bapa yang sanggup melihat anaknya menderita sakit, tambahan pula jika hanya mempunyai seorang waris.

Dilahirkan dalam keadaan normal, namun siapa sangka Tuan Syarifah Azwa Tuan Shahidan Akmar yang kini berusia 9 tahun diserang sawan sejak berusia tiga bulan.

Menurut ibunya Razima Muhammad, 37, sejak anaknya menghidap penyakit sawan hidupnya lebih banyak tertumpu kepada Tuan Syarifah Azwa.

ARTIKEL BERKAITAN: "Saya rasa teruk terima duit derma" - Gadis hidap kanser limfoma rayu bantuan, beli 'naskhah cinta'

ARTIKEL BERKAITAN: “Harta boleh dicari, nyawa tiada ganti” - Ramai tak sanggup tengok derita Ainul Mardhiah, rela jual barang kesayangan

"Azwa mula kena sawan sejak bayi sehinggalah berusia tiga tahun. Selepas itu saya sedikit lega apabila sekian lama dia tidak menderita lagi.

"Namun kelegaan saya itu hanya seketika sahaja apabila penyakit sawan ini kembali ketika usianya lapan tahun. Hidup saya kembali berada dalam kebimbangan.

Razima berkongsi biskut tart nenas jualannya di Facebook bersama gambar anaknya.

"Sebagai ibu memang saya tidak sanggup melihat keadaan dia setiap kali sawan menyerangnya. Betapa seksanya dia, tambahan pula selepas itu dia akan sakit kepala," ujarnya berkongsi kepada mStar.

Menurutnya, Azwa merupakan satu-satu anaknya dan dia mahu mencuba sehabis baik untuk memulihkan penyakit itu.

"Dialah pengarang jantung buah hati saya. Saya meminta kepada sesiapa yang ada pengalaman mengubat anak-anak yang ada sawan ini berkongsi dengan saya.

"Sejak Azwa kembali diserang sawan, hospital adalah rumah kedua kami. Kadang-kadang dia terpaksa ditahan di wad, terpulang kepada keadaannya.

Sejak Azwa diserang sawan, hospital adalah rumah kedua kami. Betapa seksa melihat keadaan dia ketika terkena sawan.

RAZIMA MUHAMMAD

IBU

"Kami mendapatkan rawatan di Hospital Dungun. Namun sejak April lalu kami sekeluarga berpindah ke Kota Tinggi, Johor sebab suami bertukar kerja.

"Jadi semua rekod perubatan Azwa dipindahkan ke hospital baharu di Kota Tinggi. Di sini, pihak doktor telah membuat beberapa ujian ke atas Azwa dan memindahkan anak saya ini ke rujukan Hospital Sultan Ismail (HSA).

"Saya bernasib baik di situ ada pakar penyakit ini dan dapat memberi perhatian kepada Azwa.

"Doktor memberitahu Azwa perlu membuat imbasan MRI (Pengimejan Resonans Magnetik). Sebelum ini anak saya sudah melakukan CT scan (pemeriksaan imbasan) untuk memeriksa sekiranya dia mempunyai kanser. Alhamdulillah dia tidak ada tanda-tanda itu (kanser).

"Tetapi ada satu masalah yang timbul sekarang memandangkan mesin MRI di hospital ini rosak. Dan jika ada sekali pun, kami terpaksa menunggu lama ikut giliran. Mungkin dalam tempoh setahun setengah.

Razima bersama anak kesayangannya.

"Jadi doktor cadangkan kepada saya untuk melakukan MRI di hospital swasta yang pastinya memerlukan kos yang tinggi," jelasnya.

Demi memastikan anaknya mendapat rawatan lebih cepat, Razima mengambil keputusan untuk berniaga secara kecil-kecilan dengan menjual biskut tart nenas gulung.

"Saya tahu kos rawatan di hospital swasta lebih mahal. Kami memang bukan orang berada. Suami saya bekerja di kilang dan banyak komitmen yang dia perlu tanggung.

"Jadi untuk ringankan beban, saya menjual biskut tart.  Saya tidak terfikir untuk meminta derma daripada orang ramai. Ini adalah salah satu usaha saya untuk mengumpul wang. Orang membeli sambil menderma untuk menampung kos rawatan.

"Alhamdulillah sejak saya membuka 'order' ramai juga yang membelinya. Ini adalah rezeki anak saya supaya cepat pulih seperti kanak-kanak lain," katanya.

Komen-komen semangat diberikan kepada Razima oleh pelayar Facebook.

Mengenai pengalamannya menjaga Azwa, detik paling mengerikannya apabila anaknya itu diserang sawan selama tiga minit.

"Doktor memberitahu kalau lebih daripada itu, besar kemungkinan dia akan terkena strok.

"Perkara itulah yang paling saya takut. Saya akan pastikan dia sentiasa dalam pemantauan dan suhu sekitarnya tidak terlalu panas.

"Kalau dia demam, memang tidak ada istilah tidur buat saya. Kepalanya perlu sentiasa basah.

"Tetapi setakat ini naluri ibu sangat kuat apabila dia terkena ketika tidur, saya tersedar dan sempat membantunya," katanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
Razima, sawan, tart nenas

Artikel Lain