“Harta boleh dicari, nyawa tiada ganti” - Ramai tak sanggup tengok derita Ainul Mardhiah, rela jual barang kesayangan - Viral | mStar

“Harta boleh dicari, nyawa tiada ganti” - Ramai tak sanggup tengok derita Ainul Mardhiah, rela jual barang kesayangan

Ainul Mardhiah yang menghidap kanser Germ Cell Tumor berada di Hospital Melaka sejak Selasa lalu.

KISAH Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin, bayi perempuan berusia lapan bulan yang mengalami ketumbuhan di bahagian mulut ternyata meruntun hati sesiapa pun yang melihatnya.

Malah, keprihatinan masyarakat di negara ini terbukti apabila mereka menggunakan kuasa viral sehingga munculnya 'Gelombang Ainul Mardhiah' dalam usaha untuk membantu bayi malang itu.

Antaranya, ada yang sanggup menjual barangan berharga peribadi seperti motosikal, topi keledar, sport rim kereta, koleksi jam, kasut, beg berjenama serta barang kemas dalam membantu menyalurkan sumbangan kepadanya.

ARTIKEL BERKATIAN: “Elaina sama seperti kembarnya, cuma perlu diberi perhatian lebih” - Ibu bayi Hydrocephalus

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu dan bayi sakit, bapa pula dibuang kerja... pilu nasib 5 beranak

Bercakap kepada mStar Online, bapa saudara Ainul Mardhiah, Kharil Fadzly Rosli mengakui terharu apabila ramai pihak tampil untuk membantu anak buah kesayangannya itu.

Tanda pagar (hashtag) PrayForAinulMardhiah turut ditularkan di media sosial dalam usaha untuk membantu bayi itu.

"Sekarang muncul 'Gelombang Ainul Mardhiah'. Pergi mana-mana mesti orang akan bercakap pasal dia. Saya sangat hargai apabila ada individu yang sanggup jual barang peribadi untuk bantu Ainul.

"Ramai yang prihatin, kalau tengok di media sosial, bukan sahaja netizen dari Malaysia malah rakyat Indonesia, Brunei dan Singapura juga banyak yang doakan Ainul," ujar pemuda berusia 26 tahun itu ketika dihubungi pada Khamis.

Ramai netizen meluahkan rasa simpati mereka terhadap Ainul Mardhiah.

Bercerita mengenai ibu bapa Ainul Mardhiah, Khairil Fadzly menjelaskan pasangan Ahmad Safiuddin Ahmad Razak dan Nurul Erwani Zaidi, masing-masing berusia 24 tahun, kini bergilir-gilir menjaga bayi mereka yang dimasukkan ke Hospital Melaka sejak Selasa lalu.

Ainul yang menghidap kanser Germ Cell Tumor pernah dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) ketika berusia 10 hari untuk membuang ketumbuhan dalam mulutnya.

Ramai yang prihatin, kalau tengok di media sosial, bukan sahaja netizen dari Malaysia malah rakyat Indonesia, Brunei dan Singapura juga banyak yang doakan Ainul.

KHAIRIL FADZLY ROSLI

Bapa Saudara Ainul Mardhiah

Namun, ia muncul kembali baru-baru ini sehingga membesar dan merebak ke bahagian mulut serta leher bayi itu.

"Mula-mula memang mereka sedih, mungkin sebab tak dapat nak rasa bermain dengan anak sendiri macam orang lain. Kami ahli keluarga pun banyak bagi kata-kata semangat.

"Saya pun terlalu sedih sebab anak saya sebaya dengan Ainul. Tapi Allah dah pilih sebab yakin mereka boleh terima ujian berat itu," kata Khairil lagi.

Bercerita lanjut mengenai keluarga bayi berkenaan, bapa Ainul Mardhiah, Ahmad Safiuddin mengusahakan perniagaan barangan runcit, Halal Mart di Ayer Molek, Melaka.

Antara netizen yang tampil untuk membantu di laman Facebook.

Bayi itu merupakan anak sulung mereka yang dilahirkan secara pramatang pada usia kandungan tujuh bulan, di Hospital Melaka pada 13 Ogos 2018.

Doktor menyarankan Ainul Mardhiah mengikuti kitaran kemoterapi Disember lalu, bagi mengelak ketumbuhan itu terus merebak.

Bagaimanapun, walau dua kali menjalani kemoterapi, keadaan Ainul Mardhiah tidak berubah dan ketumbuhan di mulutnya terus membesar dengan berat kira-kira 1.2 kilogram.

Doktor turut memberitahu kanser pada mulutnya itu tidak boleh dibuang.

Moga Ainul diberikan kesembuhan. Mak cik yang baca pun rasa perit. Moga Ainul kuat dan moga Allah pelihara Ainul sentiasa

NETIZEN

Selain mencuba perubatan alternatif, dilaporkan kos ubatnya juga memerlukan perbelanjaan tinggi selain kos peralatan menukar tiub pada leher dan minum susu.

Untuk bekalan ubatnya selama tiga hari, kira-kira RM1,000 diperlukan dan keluarganya pernah terputus bekalan selama dua minggu kerana kekangan kewangan.

Selain tular di laman Facebook menerusi posting-posting Khairil Fadzly, kisah Ainul Mardhiah turut mendapat perhatian di laman Twitter sehingga menerima berpuluh ribu perkongsian (Share dan Retweet) daripada netizen.

Rata-rata pelayar media sosial turut menzahirkan rasa simpati mereka dan mengirimkan doa buat bayi malang itu.

"Semoga Ainul cepat sihat dan sembuh dan moga ibu ayah Ainul terus kuat dan tabah hadapi ujian Allah ini, Amin," tulis Cik Tulip Kasih.

"Moga Ainul diberikan kesembuhan. Mak cik yang baca pun rasa perit. Moga Ainul kuat dan moga Allah pelihara Ainul sentiasa," tulis Siiti Norhafiza Zainal Abidin.

"Ya Allah permudahkan la segala urusan dunia akhirat Ainul Mardiah dan kedua ibu bapanya. Semoga tabah dengan dugaan ini," tulis seorang lagi individu.

Bagi sesiapa yang ingin menyalurkan sumbangan, anda boleh menghubungi bapa saudara Ainul, Khairil di talian 017-7055493 atau neneknya, Salmah Atan di talian 012-9186565.

Artikel Lain