Pemuda India tolak perbezaan warna kulit, agama bantu cari Acap, “Cubit paha kanan, paha kiri terasa” - Viral | mStar

Pemuda India tolak perbezaan warna kulit, agama bantu cari Acap, “Cubit paha kanan, paha kiri terasa”

Lenesh (kanan) menjadi perhatian kerana menawarkan diri untuk mencari Acap (kiri) yang hilang sejak 23 Mac lalu.

PENAMPAKAN seorang pemuda yang tular dalam misi mencari Mohamad Ashraf Hasan yang hilang sejak 23 Mac lalu, turut menjadi tanda tanya dalam kalangan netizen.

Dia bukan pengamal perubatan, tetapi kesediaan pemuda bukan beragama Islam itu untuk membantu mencari peserta larian Gopeng Ultra Trail yang hilang, menjadi perhatian.

Pemuda berkenaan, Lenesh Kumar, berkata, dia sebenarnya langsung tidak mengenali dan tidak pernah berjumpa Mohamad Ashraf yang lebih dikenali sebagai Acap.

ARTIKEL BERKAITAN: "Dalam banyak-banyak penampakan, ini yang terindah" Pemuda India tawar diri bantu cari Acap


Gambar yang tular menunjukkan Lenesh menadah tangan semasa sesi bacaan doa untuk keselamatan.

Menurut anak muda berusia 25 tahun ini, dia cuma mengenali seorang pengamal perubatan yang turut menyertai misi tersebut di Bukit Batu Putih, Gopeng di Perak, seminggu lalu.

"Saya tak kenal pun Acap, apatah lagi berkawan. Sebelum ni saya hanya dengar pasal Acap mengenai berita kehilangannya dan saya sekadar menjadi pemerhati.

"Saya juga tidak ada kepakaran untuk berhubung dengan makhlus halus. Kemampuan saya adalah dari segi fizikal dan mental untuk membantu," katanya kepada mStar Online.

Lenesh pernah ke lokasi kehilangan Acap sebelum ini.

Lenesh yang merupakan anak jati Ipoh, Perak itu bagaimanapun berkata, dia sebelum ini pernah memasuki kawasan di Bukit Batu Putih berhampiran lokasi kehilangan Acap.

Jika ada kemampuan untuk menolong, jadi lah yang pertama untuk melakukannya. Bila kita ada rasa tanggungjawab... cubit paha kanan, paha kiri terasa.

LENESH KUMAR

Misi pencarian itu merupakan kali ketiga dia ke lokasi itu, jelas Lenesh kunjungannya sebelum kerana syarikat pengurusan acaranya sering menganjurkan program motivasi dan bina semangat serta aktiviti sukan ekstrem.

"Tiada siapa yang minta saya ikut pergi mencari tetapi saya sendiri yang tawar diri. Saya bayangkan bagaimanalah keadaan dia bila bersendirian di dalam hutan.

"Saya melihat tiada batasan dari segi warna kulit, kaum dan agama untuk membantu kerana kita semua adalah manusia yang seharusnya bersatu," ujarnya.

Lenesh semasa menyertai misi mencari Acap, baru-baru ini. Foto ihsan Lenesh Kumar

Menurut anak kedua daripada tiga beradik itu, apabila seseorang itu dilahirkan di sesebuah negara, tanggungjawabnya sebagai warganegara tidak seharusnya dipersoalkan.

"Jika ada kemampuan untuk menolong, jadi lah yang pertama untuk melakukannya. Bila kita ada rasa tanggungjawab... cubit paha kanan, paha kiri terasa," ujarnya.

Selain menawarkan diri membantu mencari Acap, Lenesh turut menjadi perhatian apabila dirakamkan menadah tangan semasa sukarelawan membaca doa untuk keselamatan sebelum memulakan operasi mencari Acap.

Lenesh (kiri) berharap Acap ditemui semula.

Mengulas tindakan itu, Lenesh berkata, sama ada menadah tangan atau tidak, apa yang lebih penting adalah niat seseorang dan dia percaya Allah SWT boleh membaca isi hatinya.

"Saya bukan beragama Islam, tapi saya percaya Tuhan itu boleh membaca suara hati saya yang berniat untuk mencari Acap.

"Kita sudah cuba sedaya-upaya untuk mencari Acap tapi masih belum berjaya. Kita jangan berhenti mencari, dan perlu terus mendoakan agar Acap kembali," katanya.

Artikel Lain