suria

Misteri suara 'sini sini' tepi highway - "Naluri saya... 60 peratus dialah"

Hanizamal tidak menyedari terakam suara aneh semasa melakukan pencarian di lokasi berhampiran dengan lebuh raya pada malam Khamis lalu. Foto Solo Ambush.

BERPENGALAMAN selama 20 tahun dalam survival dan taktikal di hutan dan gunung, Hanizamal Abu Hanifah mengakui misi pencarian peserta larian Gopeng Ultra Trail, Mohamad Ashraf Hasan penuh misteri.

Hanizamal yang lebih dikenali dengan panggilan Solo Ambush berkata, misi tersebut berbeza dengan pencarian lain sebelum ini kerana setakat ini masih tiada klu ditemui.

"Nak kata pencarian Acap tu sukar tak adalah tapi agak misteri... penuh tanda tanya kerana tak ada klu.

"Kita tak jumpa peninggalan dia macam darah (jika cedera) atau barang-barang makanan... memang tak ada langsung," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Ahad.

ARTIKEL BERKAITAN: "Bawah terowong dekat telco"... - Sukarelawan dedah isyarat 'handphone' Acap dikesan kali terakhir

ARTIKEL BERKAITAN: Siapa dia? Dua kali "jom blah" pisahkan pendaki dengan 'budak' di lokasi Acap hilang

Misteri suara aneh

Malah lelaki berasal dari Pulau Pinang itu turut berkongsi misi pencarian Acap yang dilakukannya secara solo pada Khamis lalu di Facebook miliknya.

Namun dia terkejut apabila dimaklumkan terdapat suara aneh 'sini sini' ketika dia memanggil nama Acap semasa pencarian tersebut.

Bunyi aneh itu dirakam semasa pencarian di lokasi 1 berdekatan dengan highway. 

"Saya tak dengar masa dekat situ sebab fokus kepada pergerakan dengan bunyi lima meter jauh tapi tak sangka capture suara tersebut dalam recording.

"Bila diberitahu saya andaikan itu suara saya sebab saya seorang dekat situ, mana ada orang lain. Berpuluh kali saya ulang... saya kata biar betul ni," kata Hanizamal yang pada awalnya tidak percaya dengan suara itu.

Ditanya mengenai pengamatannya terhadap suara itu, naluri lelaki berusia 40 tahun itu kuat mengatakan ia suara Acap.

"Naluri saya... saya rasa macam 60 peratus dialah. Sebab ada orang kampung (Orang Asli) mesej saya beritahu dah betul dah lokasi yang dicari.

"Kawasan tu saya ingat dan dah tanda dekat peta. Harap ada siapa-siapa pergi sambung tengok. Suara itu di kawasan 1, maksudnya di lokasi saya terjumpa sebuah rumah lama dan berhampiran dengan highway," katanya.

Acap mungkin tersesat

Berdasarkan penilaiannya sepanjang misi pencarian itu, Hanizamal yang bekerja sebagai jurutera percaya Acap kemungkinan tersesat semasa melalui jalan menuju ke lebuh raya.

"Saya percaya dia ada di sekitar lokasi 1 (kawasan rumah lama di mana terdengar bisikan “di sini sini”), lokasi 2 (jalan ke arah kampung) berhampiran dengan highway dan 5 (titik pertemuan trek sama menuju ke garisan permulaan dan penamat).

"Dari Gua Kandu nak ke highway terlalu hampir, jalan ke highway itu seolah-olah akan menyebabkan sesiapa tak perasaan sebab laluan tersebut melintasi highway," katanya.

Kawasan yang ditanda di dalam peta itu menunjukkan lokasi Acap dipercayai berada ketika ini. 

Malah Hanizamal mendedahkan dia turut dimaklumkan bahawa ramai peserta tersesat di lokasi 1 dan 2 yang berhampiran dengan lebuh raya.

"Ramai peserta tersesat tapi mereka berjaya kembali ke trek asal. Berdasarkan faktor itu saya simpulkan Acap bergelut melalui jalan tepi untuk menemui jalan atau trek sepatutnya.

"Berdasarkan isyarat telco (saya dapat maklumat) kawasan itu termasuk dalam liputan dan beberapa maklumat serta kelajuan dia saya buat analisis dia berkemungkinan berada di kawasan 1 hingga 5," katanya.

Naluri saya... saya rasa macam 60 peratus dialah. Sebab ada orang kampung (Orang Asli) mesej saya beritahu dah betul dah lokasi yang dicari.

Hanizamal Abu Hanifah.

Jelas Hanizamal yang turut mempunyai kelebihan untuk melihat entiti atau makhluk halus tidak menolak Acap terlindung daripada pandangan mata kasar manusia.

"Saya rasa dia tersembunyi daripada alam kita sebab saya sekali sekala boleh tengok alam ghaib. Saya nampak sekarang dia dah berada di suatu tempat tak bergerak selama empat hari.

"Dia bersandar dekat satu tempat bercahaya walaupun malam. Tapi saya berpegang kepada benda logik bahawa tempat bercahaya itu adalah lampu jalan highway.

"Saya cuba letak kawasan di berada sekarang di tepi highway. Dia ikut jalan silap dan tercedera serta tak boleh nak bergerak," katanya.

Gesa pencarian di tiga lokasi

Justeru, Hanizamal menggesa agar operasi mencari dan menyelamat diperluaskan di sekitar lebuh raya yang dimaksudkan.

Acap dipercayai hilang selepas gagal tiba di garisan penamat sejak 23 Mac lalu.

"Sebelum saya pergi, saya buat homework dulu, bukan main redah cari dalam hutan. Jadi saya minta pasukan mencari dan menyelamat (SAR) bertumpu di lokasi sekitar highway (lokasi 1) kerana kawasan itu tak cari lagi.

"Kebanyakan saya tengok lokasi pencarian bertumpu di Bukit Batu Putih, Gua Tempurung dan Gua Kandu. Tapi terang-terang dia dah turun dari Bukit Batu Putih, hentikan carian di situ," katanya.

Hanizamal turut meminta agar orang ramai mendoakan keadaan Acap yang kini didakwanya agak lemah disebabkan kecederaan.

"Dia lemah kerana jatuh dan cedera disebabkan trail yang dilaluinya. Saya juga percaya dia mungkin dehidrasi kerana cuaca sekarang panas.

"Saya sendiri pernah melalui pengalaman itu ketika masuk hutan. Kepala tak boleh berfikir dengan baik, jadi halusinasi dan mungkin dia mula bergerak ke tempat lain," katanya.

Dedah keadaan di lokasi 1

Pada masa sama, Hanizamal turut meluahkan rasa bimbang mengenai kehadiran khinzir hutan di lokasi 1.

"Di situ saya dengar banyak khinzir berkeliaran, saya jadi bimbang kerana haiwan itu boleh menyerang sesiapa sahaja.

"Namun saya tak jumpa sebarang kesan darah, jadi saya rasa dia ok. Perkara itu saya tidak dedahkan semasa live kerana fikirkan keluarga Acap," katanya.

Mengenai rumah lama yang ditemuinya di lokasi 1, Hanizamal berkata dia amat kecewa apabila tidak menemui Acap di situ.

Hanizamal turut aktif melakukan pencarian entiti di luar negara.

"Sebenarnya aura kuat di situ. Saya bagi salam sebab saya jangka ada orang di dalamnya. Harapan saya agar Acap ada di situ tapi tak ada. Saya memang kecewa.

"Walaupun rumah itu lama tapi ia seolah-olah seperti digunakan dan didiami. Ia hanya berkunci dari luar. Keadaan di dalam tak kusam dan tak berbau, seperti berpenghuni," katanya.

Namun Hanizamal pelik dengan kewujudan rumah lama itu dengan mengambil kira keadaan di lokasi terbabit.

"Kira manusia ada pengesan semula jadi, bila bulu roma meremang tu ada sesuatu berkaitan dengan alam ghaib. Entiti seperti itu selalu mengganggu medan elektromagnetik.

"Saya hairan apabila ada besi pembinaan berwarna biru di dalam rumah itu. Ia tak relevan dengan keadaan di sana. Saya juga boleh nampak banyak benda ghaib dekat situ yang kita tak nampak dengan mata kasar," katanya.

Keletihan jejas fokus pencarian

Hanizamal turut berkata keadaannya yang terlalu letih menjejaskan tumpuan dan keupayaan stamina fizikalnya untuk meneruskan pencarian pada malam tersebut.

"Saya keletihan sebab baharu balik dari Vietnam. Saya memandu kereta direct dari Pulau Pinang ke Gopeng selama tiga jam tanpa henti.

"Keadaan itu menjejaskan fokus dan keupayaan saya. Saya amat sedih dan sebak ketika itu. Saya mohon maaf kerana tak dapat teruskan pencarian. Saya sempat tidur di kawasan kubur selama 10 minit kerana terlalu mengantuk dan kepenatan," katanya.

Pencarian Hanizamal berakhir di kawasan perkuburan.

Dalam pada itu, Hanizamal berkata sekiranya dua menara komunikasi (telco) dapat mengesan isyarat telefon bimbit Acap pada masa sama, teknik triangulasi dapat digunakan.

"Dengan teknik triangulasi, ini bermakna kedudukan tepat boleh dikesan tetapi isyarat telefon bimbitnya di dua menara telco pada dua masa berbeza. Jadi triangulasi tak dapat dilakukan.

"Cuma hanya boleh gunakan kesan isyarat telefon bimbit dan anggaran kelajuan larian dan laluan tersasar," katanya yang tidak mengalami sebarang gangguan dan hanya kurang tidur selepas pencarian penuh misteri itu.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain