suria

Cayalah! Baru 11 tahun tapi bakat mekap taraf profesional, Iris cabar diri idam solek Neelofa

Iris (kiri) yang minat dalam bidang solekan mengimpikan untuk menyolekkan Neelofa.

BARU berusia 11 tahun, tapi solekannya umpama hasil kerja jurusolek artis (MUA), hinggakan rata-rata netizen tak percaya empunya diri itu masih di sekolah rendah.

Membuat video secara rakaman mahupun penstriman langsung di laman sosial, budak perempuan tersebut pandai mekap seperti jurusolek profesional.

Menerusi beberapa gambar dan video yang tular, wajah adik ini kelihatan lebih matang seperti gadis selepas disolek, dan tidak kekok bergaya di hadapan kamera.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak Dapat Annabelle, Ayda Jebat Pun Boleh

ARTIKEL BERKAITAN: “Mereka Juga Mahu Disolek” – Jurusolek Bahasa Isyarat


Wajah Iris sebelum dan selepas disoleknya sendiri. Foto instagram iriskhairi

Kanak-kanak tersebut, Nurul Iris Nasyilla Khairi berkata, dia sebenarnya mula berjinak-jinak dengan solekan sejak usianya lapan tahun.

Lebih mengejutkan, dia yang mesra dengan panggilan Iris ini memberitahu, dia belajar bersolek sendiri daripada video di laman sosial YouTube.

“Saya belajar mekap sendiri daripada YouTube. Saya bersemangat nak bersolek bila tengok video yang dibuat oleh seorang MUA, Kak Bella (Nor Nabilah Zulyadaini).

“Ibu saya tak suka mekap tapi dia sentiasa menyokong minat saya. Saya pernah solekkan ibu untuk pergi ke kenduri kahwin,” katanya kepada mStar Online.

Iris mula belajar bersolak sejak umurnya lapan tahun. 

Iris yang menetap di Simpang Ampat, Pulau Pinang berkata, dia masih terkejut dan tidak menyangka videonya membuat tutorial solekan menjadi tular.

Saya bersolek sekadar suka-suka. Tapi bila dah ‘viral’, banyak tawaran yang saya terima. Saya jadi gementar sebab ramai yang nak saya solek untuk bakal pengantin.

IRIS

Anak sulung daripada tiga beradik ini berkata, dia mula membuat video solekan setahun lalu sekadar minat dan hobi bagi mengisi masa lapang.

“Saya bersolek sekadar suka-suka. Tapi bila dah ‘viral’, banyak tawaran yang saya terima. Saya jadi gementar sebab ramai yang nak saya solek untuk bakal pengantin.

“Memang saya pernah solek orang lain selain ibu sebelum ni. Tapi kebanyakannya untuk ke kenduri kahwin, bukannya mekap pengantin,” kata murid Sekolah Kebangsaan Tasek Permai di Simpang Ampat, Seberang Perai ini.

Wajah Iris kelihatan lebih matang daripada usia menerusi teknik solekan.

Peminat kumpulan Kpop popular Blackpink ini bagaimanapun berkata, dia bersedia untuk menyolekkan bakal pengantin sekiranya diberi peluang.

Iris yang mahu mengasah bakatnya dalam solekan itu memberitahu, tawaran itu hanya diterima sekiranya dibuat pada cuti sekolah kerana enggan minatnya itu mengganggu pelajaran.

“Ibu dan ayah beri sokongan kepada saya tapi mereka nasihatkan apapun kena utamakan pelajaran. Sebelum bersolek, saya kena pastikan dah buat kerja sekolah dan solat terlebih dahulu,” katanya yang meminati subjek Sains.

Iris (kiri) bersama keluarganya. Foto ihsan Nurul Iris Nasyilla Khairi

Iris yang bercita-cita untuk menjadi guru berkata, dia mendedahkan mempunyai impian untuk menyolek pelakon pujaannya, Neelofa suatu hari nanti.

“Saya memang minat sangat dengan kak Neelofa. Dia cantik dan bekerjaya, suatu hari nanti nak berjaya macam dia.

“Saya teringin nak mekapkan kak Neelofa. Kalau dapat peluang tu, rasa teruja sangat,” katanya yang mengikuti drama yang dibintangi pelakon itu, antaranya adalah Suri Hati Mr Pilot.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
jurusolek, MUA, Neelofa

Artikel Lain