suria

"Dalam banyak-banyak penampakan, ini yang terindah" Pemuda India tawar diri bantu cari Acap

Tanda anak panah pada gambar yang dikongsi Mohd Nizam di laman sosial menunjukkan seorang pemuda India turut terlibat dalam misi mencari Acap, baru-baru ini.

MISTERI kehilangan peserta larian Gopeng Ultra Trail, Mohamad Ashraf Hasan sejak 23 Mac lalu, terus menjadi tanda tanya.

Namun apa yang berlaku, tersebar di media sosial gambar pemuda yang lebih dikenali sebagai Acap pada hari kejadian sebelum kehilangannya dengan lakaran beberapa bulatan atau anak panah merah yang didakwa penampakan makhlus halus di sekelilingnya.

Berbeza dengan satu perkongsian, ia menjadi perhatian sehingga netizen memberi komen bahawa "dalam banyak-banyak penampakan, ini adalah penampakan yang terindah".

ARTIKEL BERKAITAN: "Saya tak kenal Acap, cuma terbayang keadaan dia sendirian" - Pemuda India minta jangan berhenti mencari, teruskan doa

ARTIKEL BERKAITAN: Misteri suara 'sini sini' tepi highway - "Naluri saya... 60 peratus dialah"

ARTIKEL BERKAITAN: “Bawah terowong, dekat telco...” - Sukarelawan dedah isyarat 'handphone' Acap dikesan kali terakhir

"Nak sangat penampakan pelik kan. Rata-rata orang yang kongsi gambar pelik dalam kes Mohammad Asyraf dan ia membawa kepada unsur khurafat dan syirik.

"Ni saya kongsi perkara pelik yang membawa ke arah kebaikan. Pemuda di atas seorang usahawan muda bernama Lenesh yang bukan beragama Islam," kata seorang pengamal perubatan yang merujuk kepada gambar yang tular menunjukkan seorang pemuda India menadah tangan semasa sesi membaca doa untuk keselamatan sukarelawan sebelum memulakan pencarian Acap di Bukit Batu Putih, Gopeng.

Lenesh (kiri) menawarkan diri membantu mencari Acap.

Mengenai perkongsian yang tular, pengamal perubatan itu, Mohd Nizam Halmi 43, berkata, gambar tersebut dirakamkan semasa operasi mencari Acap kira-kira seminggu lalu.

Dia yang mengusahakan pusat rawatan Islam di Tambun, Perak berkata, dia mengenali Lenesh sejak akhir tahun lalu dan pemuda itu menawarkan diri untuk membantu.

"Lenesh kata - ustaz nak ikut. Dia tanya - ramai ni semua nak tolong ke? Saya katakan pada Lenesh ia menunjukkan semangat persaudaraan walaupun kita semua tak kenal Acap.

"Saya menyifatkan Lenesh ni seorang yang peramah, terpelajar, mudah bergaul dan murah hati. Saya kata pada dia, kita mungkin tak dapat bantu orang-orang di Palestin, Syria atau etnik Rohingya di Myanmar, tapi kita boleh bantu mencari Acap di sini," katanya kepada mStar Online.

Acap hilang sejak 23 Mac lalu.

Mohd Nizam yang menjadi pengamal perubatan hampir 10 tahun berkata, penglibatan Lenesh dalam usaha mencari itu lebih kepada kudratnya dari segi fizikal bukan kerana anak muda itu mempunyai kelebihan berhubung dengan makhluk halus.

Seperti Lenesh, walaupun dia mempunyai kepercayaannya sendiri tetapi dia tidak mencetuskan spekulasi. Sebaliknya, dia tampil membantu mengikut kemampuannya.

MOHD NIZAM HALMI

Pengamal perubatan

Sehubungan itu, dia meminta semua pihak tidak melakukan perbuatan syirik dalam kes kehilangan Acap termasuk membakar kemenyan atau melakukan ritual yang keterlaluan.

"Sama juga seperti yang tanda bulat merah tu. Kita tak boleh berhujah pada gambar dengan hanya ia mempunyai bentuk seakan-akan sesuatu.

"Kalau ada asap pun, ia mungkin boleh membentuk sesuatu. Sepatutnya, kita berikhtiar mencari dan seperti saya dan rakan-rakan lain meruqyah," katanya yang memberitahu pernah merawat seorang pendaki yang mengalami gangguan makhlus halus di lokasi yang sama kehilangan Acap, pada akhir 2017.

Mohd Nizam kagum dengan keperibadian Lenesh meskipun anak muda itu bukan beragama Islam.

Mohd Nizam yang telah menjalankan misi mencari Acap buat kali ketiga meminta semua pihak agar terus mendoakan semoga Acap dipertemukan kembali.

"Kalau betul-betul prihatin, bagi yang beragama Islam boleh buat solat hajat dan berdoa. Hentikan sebarang spekulasi dan tidak menyebarkan perkara khurafat. 

"Seperti Lenesh, walaupun dia mempunyai kepercayaannya sendiri tetapi dia tidak mencetuskan spekulasi. Sebaliknya, dia tampil membantu mengikut kemampuannya," katanya sambil menambah misi mencari Acap akan diteruskan.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain