Roti tisu Syed Saddiq vs roti kosong Papagomo... tepuk dada tanya selera! - Viral | mStar

Roti tisu Syed Saddiq vs roti kosong Papagomo... tepuk dada tanya selera!

Tular di media sosial mengenai roti tisu (kanan) dinamakan sebagai roti Syed Saddiq sempena nama Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (kiri).

SANA sini mula kecoh di media sosial apabila menu lama di kedai mamak telah 'dijenamakan' semula hingga kononnya mendapat permintaan pelanggan kerana ia disebut roti Syed Saddiq!

Ia menimbulkan tanda tanya dalam kalangan netizen mengenai sejauh mana kebenaran roti yang dinamakan sempena Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang dijual di pasaran.

Menerusi Facebook, tular roti Syed Saddiq dengan keterangan “pada sahabat yang belum sarapan pagi, carilah kedai mamak muslim dan pesanlah roti Syed Saddiq.”

ARTIKEL BERKAITAN: Gaun Sarah Suhairi disamakan seperti roti tisu dan plastik sampah, pereka fesyen beri jawapannya

ARTIKEL BERKAITAN: Syed Saddiq dakwa kena 'headlock', tapi Papagomo kata cuma peluk dengan lembut

ARTIKEL BERKAITAN: Papagomo mengaku tidak bersalah aib, cederakan Syed Saddiq

Namun, setakat ini, nama roti Syed Saddiq sekadar menjadi bahan gurauan buat anggota Kabinet itu, termasuk jenaka yang dikongsi oleh penulis blog Papagomo di laman sosial Twitter pada Sabtu lalu.

“Ada kawan semalam roger dia pesan Roti @SyedSaddiq. Tahu-tahu je hantar roti tisu.

“Boleh le kau orang cuba pesan Roti Saddiq lepas ni. Gerenti kedai mamak tau apa itu Roti Saddiq,” menurut tulisan Papagomo yang juga Exco Pemuda Umno di akaun Twitter miliknya @Sir_Azri.

Papagomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris, 36, turut memuat naik paparan komik berdialog yang menunjukkan seorang pelanggan di sebuah restoran membuat pesanan roti dengan menyebut Roti Syed Saddiq.

Gurauan berbentuk komik mengenai roti tisu Syed Saddiq di akaun Twitter Papagomo.

Menerusi komik itu, pekerja restoran bertanyakan apakah itu roti Syed Saddiq sebelum dialog pelanggan terbabit menyebutnya sebagai roti tisu.

Jenaka berbentuk sindiran itu dipercayai susulan insiden Syed Saddiq dilaporkan mengalami kecederaan tisu badan setelah didakwa dipegang atau dipeluk bahu oleh  Papagomo semasa hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih pada 16 Februari lalu. 

Susulan gurauan roti tisu Syed Saddiq, rata-rata netizen menyifatkan ia sebagai lucu dan ada yang turut melabelkan Papagomo sebagai roti kosong.

Dalam kejadian pada 16 Februari lalu, Ahli Parlimen Muar terbabit mendakwa diserang sekumpulan penyokong pembangkang sebaik keluar dari pusat penamaan calon PRK DUN Semenyih di Dewan Seri Cempaka Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), pada pukul 10.45 pagi.

Pada 28 Februari lalu, Papagomo didakwa di Mahkamah Majistret di Kajang, atas dua tuduhan mengaib dan mendatangkan kecederaan ke atas Syed Saddiq.

Wan Muhammad Azri mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan.

Mahkamah kemudian membenarkan Wan Muhammad Azri diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin, berserta syarat tambahan perlu melaporkan diri di balai polis setiap bulan dan menetapkan 1 April untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Syed Saddiq , Papagomo , roti Saddiq , mamak , roti tisu

Artikel Lain