suria

Mahu kikis stigma Sejarah bosan, mengantuk... guru sanggup pakai kostum Flinstones, Indiana Jones ketika mengajar

Cikgu Safwan berusaha untuk memastikan anak didiknya memahami subjek Sejarah dan tidak menganggap ia mata pelajaran yang bosan.

SUBJEK Sejarah sering dianggap antara mata pelajaran yang membosankan walaupun guru terbabit menggunakan pelbagai teknik mengajar untuk manfaat pelajar.

Menyedari tanggapan generasi muda masa kini terhadap subjek yang dahulunya dikenali sebagai Tawarikh itu, seorang pendidik tampil membawa kelainan.

Mohd Safwan Zulqarnain Jebat terpanggil untuk memastikan anak didiknya menghayati peristiwa sejarah hingga menggunakan teknik penceritaan.

Bukan itu sahaja, malahan guru yang berasal dari Johor Bahru (JB) ini juga menggayakan kostum mengikut topik yang diajar di Sekolah Menengah Mohd Khalid JB bagi menarik minat pelajarnya.

"Teknik ini hasil inspirasi saya sendiri, dahulu ketika mempelajari sejarah ketika zaman sekolah menengah saya banyak berimaginasi.

"Jadi, teknik ini saya bawa kepada realiti kerana saya suka bayangkan diri saya berada di era sejarah mengikut setiap topik yang diajar contoh seperti zaman batu," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Guru berusia 27 ini mula mengajar subjek sejarah pada tahun lepas, namun mula menggunakan teknik berkenaan bermula sesi persekolahan 2019 bagi menarik minat pelajarnya supaya menyukai subjek tersebut.

"Ia merupakan satu cabaran bagi memupuk minat murid-murid tingkatan satu terhadap subjek Sejarah.

"Alhamdulillah saya nampak mereka sentiasa teruja untuk mempelajari sejarah yang mempunyai stigma sebagai subjek yang membosankan dan mengantuk.

"Melalui kaedah yang saya gunakan, pelajar mudah memahami fakta sejarah sebenar yang agak banyak untuk dihadam," ujarnya yang juga mengajar subjek Bahasa Melayu dan Inggeris.

Cikgu Safwan bernasib baik kerana ibunya membantu menghasilkan kostum yang digayakan ketika mengajar subjek Sejarah.

Menceritakan lebih lanjut, katanya, selain kostum khas mengikut karakter yang ingin disampaikan, dia juga menyediakan beberapa props untuk mengajar.

"Kostum yang saya selalu pakai itu dibuat sendiri dengan bantuan ibu saya yang sangat menyokong usaha saya dan kebiasaannya ia hanya mengambil masa sehari sahaja untuk menyiapkannya.

"Setakat ini saya sudah menggayakan kostum ala-ala orang zaman batu dan Indiana Jones," katanya.

Mohd Safwan memberitahu, dia juga pernah mengadakan mini teater untuk subjek Sejarah tahun lepas dan kini merancang untuk menyanyi 'rap' bagi mencipta kelainan.

Dalam pada itu, video yang dimuat naik oleh Mohamad Safwan sendiri, @awanjebat mendapat kira-kira 30,000 tontonan di laman Twitter sejak 1 April lalu.

"Cara sebegini lebih bagus daripada baca buku teks je," tulis @iksterror.

" Seorang guru yang berkaliber," komen @muchkinpanda90.

"Cikgu patut diberi anugerah," tulis @NurinSyahirah19.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
Indiana Jones, Safwan, Sejarah, JB

Artikel Lain