suria

Nasib ‘hot daddy’, keluar dengan anak sendiri, ‘makcik bawang’ kata curang!

Bapa Nuriesh menjadi perhatian selepas gambar bapanya itu yang dikongsikan di Twitter menjadi tular. Foto ihsan Nuriesh Farisha Zulkarnain

GARA-gara membalas bebenang di laman sosial Twitter mengenai keadaan fizikal lelaki selepas berkahwin, bapa seorang pelajar kolej ini telah menarik perhatian ramai.

Semuanya selepas seorang gadis berkongsi gambar bapa dan ibunya di Twitter bagi menunjukkan bapanya yang kelihatan muda seperti lelaki bujang.

“Hello ni bapa aku. Dah 27 tahun kahwin tak buncit lagi ni haa,” katanya sehingga perkongsiannya itu tular, dan rata-rata netizen bertanya usia sebenar bapanya.

Perkongsian gambar ibu bapa Nuriesh di Twitter bagi membalas bebenang mengenai fizikal lelaki selepas berkahwin.

Gadis berusia 21 tahun itu, Nuriesh Farisha Zulkarnain berkata, bapanya iatu Zulkarnain Ibrahim berusia 46 tahun dan berkahwin pada usia muda, kini mempunyai tiga anak dan seorang cucu.

Nuriesh yang merupakan anak bongsu itu mengakui bapanya kelihatan lebih muda daripada usianya kerana mengamalkan gaya hidup sihat.

“Ayah sering melakukan senaman di gim, hampir setiap hari dia pergi. Dia juga mengamalkan pemakanan yang sihat.

“Selera makan ayah lebih kepada yang banyak protein macam ayam bakar bahagian dada, selain sayur. Setiap pagi ayah ambil kira-kira lima biji telur,” katanya kepada mStar Online sambil menambah bapanya juga pernah melatihnya bersenam di gim.

Bapa Nuriesh sering disalah anggap sebagai abangnya.

Nuriesh berkata, keadaan fizikal bapanya yang berbadan tegap itu sekali gus menepis tanggapan ramai bahawa bentuk badan akan berubah selepas berkahwin.

Mereka tanya banyak kali sebab tak percaya dan sampai saya pun tak tahu macam mana nak jelaskan. Sudahnya saya tunjuk gambar ayah bersama mak, barulah mereka percaya. 

NURIESH

Walaupun mempunyai komitmen dengan keluarga dan kerja, anak jati Kota Bharu, Kelantan ini menjelaskan bahawa bapanya yang menjual daging di Pasar Siti Khadijah itu begitu mementingkan kecergasan dan penjagaan kesihatan.

(kiri) Nuriesh bersama keluarganya. (kanan) Bapa Nuriesh memangku cucu berusia hampir setahun.

Susulan perkongsiannya tular, pelajar Kolej Profesional Mara Indera Mahkota di Kuantan, Pahang ini dihujani pelbagai pertanyaan netizen mengenai bapanya.

“Bukan setakat netizen, kawan-kawan kolej pun ada yang tak percaya itu ayah saya. Ada sekali tu saya muat naik gambar ayah seorang di Instagram, lepas tu ramai yang ingatkan tu abang saya.

“Mereka tanya banyak kali sebab tak percaya dan sampai saya pun tak tahu macam mana nak jelaskan. Sudahnya saya tunjuk gambar ayah bersama mak, barulah mereka percaya. Yang kelakar bila ada yang labelkan ayah saya sebagai ‘hot daddy’,” katanya yang merupakan penuntut Diploma Komunikasi Bahasa Inggeris.

Bapa Nuriesh aktif bersenam di gim, selain mengamalkan pemakanan sihat.

Namun apa yang lebih melucukan apabila bapanya disangka curang dengan ibunya gara-gara keluar berdua-duaan dengan seorang gadis awal tahun ini.

“Ibu dapat panggilan daripada seseorang yang memberitahu nampak ayah dalam kereta dengan perempuan lain. Tapi ibu tak melatah, sebaliknya hanya tersenyum.

“Tapi ibu tahu masa tu ayah sebenarnya tengah keluar dengan saya. Sedangkan makcik yang ‘membawang’ tu ingatkan ayah saya curang dengan perempuan lain,” katanya. 

Tidak menganggap sebagai beban, sebaliknya Nuriesh berbangga mempunyai bapa yang tampak lebih muda.

Sering disalah anggap seperti abang sendiri, Nuriesh tidak melihat ia sebagai satu beban, sebaliknya dia berbangga mempunyai bapa yang tampak lebih muda.

“Ayah ni sebenarnya seorang yang serius, hanya bercakap bila penting dan bersikap tegas dengan anak-anaknya. Bila tular ni, takut juga kena marah dengan ayah.

“Tapi, ayah okay saja. Cuma ayah pula yang risau kalau ada peminat yang datang serbu kat Pasar Siti Khadijah,” katanya secara berseloroh.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain