PELAKON Ikmal Amry menasihatkan orang ramai agar tidak menyertai acara kecergasan Hyrox hanya kerana mengikut trend 'takut ketinggalan' (FOMO) tanpa membuat persediaan secukupnya.Ikmal atau Mohd Zulikmalamry Ghazali, 32, berkata Hyrox bukan acara yang boleh disertai tanpa latihan dan persediaan rapi walaupun trend FOMO terhadap aktiviti sihat mampu menggalakkan lebih ramai individu mengamalkan gaya hidup aktif. "Jangan rasa Hyrox mudah tanpa latihan. FOMO ini ada bagusnya juga lebih-lebih lagi pada aktiviti sihat. "Tapi tak semua perkara boleh redah macam itu saja terutamanya acara Hyrox ini. Ikmal menegaskan perlu ada latihan rapi sebelum menyertai Hyrox."Peserta perlu membuat perancangan dan latihan berbulan-bulan awal," katanya ketika dihubungi mStar. Pelakon drama Khianat Yang Terpilih itu bagaimanapun tidak menafikan sesiapa sahaja boleh menyertai acara sukan tersebut, namun tahap kecergasan dan persediaan fizikal akan menentukan kemampuan seseorang peserta untuk menamatkan cabaran. "Tak dinafikan semua orang boleh sertai Hyrox, bezanya tempoh masa nak habiskan acara itu cepat atau lambat saja. "Kalau tak ada latihan yang betul mungkin akan alami kecederaan. Malah lebih membimbangkan selepas selesai acara mungkin keadaan peserta jadi lebih teruk. ARTIKEL BERKAITAN: Sakit otot bukan alasan, Ikmal Amry redah bertanding tanpa banyak latihanARTIKEL BERKAITAN: Syahir Shafein pakai kurta ketika Hyrox demi aurat"Hyrox ini adalah kombinasi kekuatan dan daya tahan, kalau tiada kedua-dua aspek ini memang boleh mendatangkan kemudaratan," ujarnya. Mengulas mengenai penglibatan semakin ramai golongan selebriti dalam acara Hyrox, Ikmal berkata dia gembira melihat perkembangan positif tersebut.Menurutnya, penglibatan figura awam dalam aktiviti berkenaan secara tidak langsung dapat meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan menjaga kecergasan fizikal dan mengamalkan gaya hidup sihat.Ikmal menganggap penyertaan di Hyrox sebagai langkah kesedaran tentang kepentingan kecergasan fizikal."Saya tumpang senang melihat ramai rakan artis yang mula menyertai acara sukan seperti ini. "Bagus juga secara tidak langsung dapat memberi kesedaran kepada semua tentang pentingnya amalan kecergasan fizikal demi menjaga kesihatan dengan baik," katanya. Untuk info, Ikmal mula menyertai Hyrox sejak tahun lalu bermula di Bangkok, Thailand. Aktor berkenaan kemudian semakin aktif menyertai pertandingan Hyrox dan sanggup melakukan perjalanan ke beberapa negara lain termasuk Singapura, Jepun dan China.Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTubeTONTON VIDEO PILIHAN!