suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Pesara 68 tahun macam ‘abang kawasan’, intai jiran buat salah dari tingkap rumah

Tan sanggup membelanjakan ribuan ringgit untuk membeli kamera bagi merakam kesalahan jirannya. -Gambar Shin Min Daily News

PERSARAAN biasanya diisi dengan aktiviti santai bersama keluarga, namun berbeza pula kisahnya bagi seorang warga emas ini apabila dia memilih untuk menjadikan aktiviti merakam kesalahan orang ramai sebagai hobi baharunya.

Tan Qiangsheng, 68, menghabiskan masa memerhati kawasan sekitar blok perumahannya sebelum merakam individu yang membuang sampah atau meletakkan kenderaan secara tidak sah untuk dilaporkan kepada pihak berkuasa.

Misi 'memburu' itu bermula selepas dia mendakwa sudah bosan melihat pelbagai kesalahan undang-undang sering berlaku di kawasan kediamannya.

“Saya boleh menghabiskan sepanjang hari melihat keluar tingkap rumah untuk memerhati. 

"Jika ternampak sesuatu yang melanggar peraturan, saya akan mengambil gambar menggunakan kamera dan menyerahkannya kepada pihak berkuasa,” katanya.

Selain gambar dan video, Tan turut menyimpan rekod bertulis mengenai kesalahan yang diperhatikannya di kawasan sekitar Tampines, Singapura.

Setiap bulan, dia sanggup mengambil masa lebih sejam perjalanan ke Agensi Alam Sekitar Kebangsaan (NEA) untuk menyerahkan bukti yang dikumpul.

Pada awalnya, Tan melaporkan antara 40 hingga 50 kes membuang sampah setiap bulan, namun jumlah itu menurun kepada sekitar 20 hingga 30 kes selepas keadaan bertambah baik.

Tindakan Tan menyebabkan beberapa penduduk dikenakan saman berdasarkan bukti yang dikemukakannya.

Seorang pemandu kenderaan sewa persendirian yang hanya dikenali sebagai Lin mendakwa ramai penduduk tidak berpuas hati dengan tindakan lelaki itu.

Lin berkata dia sendiri menerima empat saman dan membayar kira-kira S$1,000 (RM3,000) akibat laporan tersebut.

“Saya kemudian mengetahui daripada seorang pekerja pembersihan bahawa Tan yang mengambil gambar dan melaporkan saya kepada pihak berkuasa,” katanya.

Bagaimanapun, Tan berkata dia akan terus menjalankan tugas itu walaupun tidak menerima penghargaan daripada penduduk.

“Saya akan terus melakukannya. Selagi saya nampak, saya akan laporkan. Menjaga alam sekitar adalah tanggungjawab semua orang. Jika kamu membuang sampah, saya akan tangkap,” katanya.

Bagi memastikan gambar lebih jelas, Tan sanggup membelanjakan lebih S$1,000 (sekitar RM3,000) untuk membeli kamera Nikon dengan fungsi zum jarak jauh.

Katanya, kamera lama yang digunakan sebelum ini tidak mampu menghasilkan gambar yang jelas.

Isterinya pula menyokong usaha suaminya itu dan berkata mereka yakin tindakan tersebut adalah perkara yang betul.

Tan turut memasang dua kamera litar tertutup (CCTV) di luar rumahnya sebagai langkah keselamatan dan akan menghubungi polis jika diganggu.

Namun, usaha Tan turut mencetuskan konflik dengan beberapa jiran.

Lin mendakwa dia pernah bertengkar dengan Tan selepas terserempak dengannya dalam lif.

Menurut Lin, berlaku insiden perang mulut sebelum dia mendakwa warga emas itu bertindak menendangnya dan mengugut untuk memanggil polis.

Tan bagaimanapun menafikan dakwaan itu dan mendakwa Lin yang menendangnya terlebih dahulu. Dia kemudian membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut.

Seorang lagi penduduk dikenali sebagai Zheng pula berkata dia pernah menerima saman selepas dirakam mencuci kereta dan membuang air ke longkang ketika mengunjungi rumah ibu bapanya pada September 2025. -Agensi

Artikel Lain

BN menang besar PRN Johor