TIGA beradik berjaya diselamatkan orang awam selepas dipercayai cuba menamatkan riwayat hidup dengan melemaskan diri di laut kerana mahu melarikan diri daripada bapa mereka yang didakwa ketagih dadah.Kejadian dilaporkan berlaku di daerah Khanom, wilayah Nakhon Si Thammarat, Thailand. Saksi yang menyedari tindakan ketiga-tiga beradik berusia bawah 18 tahun itu segera menghalang sebelum membawa mereka ke tempat selamat. Menurut saksi, tiga beradik tersebut mendakwa sering menjadi mangsa penderaan oleh bapa mereka, yang dikatakan mengalami masalah kesihatan mental berkaitan penyalahgunaan dadah.Malah, mereka turut mendakwa dipaksa meminta sedekah, sebelum wang yang diperoleh digunakan oleh bapa mereka untuk membeli dadah.Kes berkenaan kemudiannya dimaklumkan kepada Ahli Parlimen Khanom, Pimphattra Wichaikun, yang mengadakan lawatan ke rumah keluarga tiga beradik terbabit bersama agensi berkaitan bagi menilai kebajikan mereka.Datuk dan nenek kepada tiga beradik berkenaan turut memaklumkan bahawa bapa mereka kini ditahan di balai polis selepas dipercayai cuba menyerang ahli keluarganya sendiri, malah jiran dan penduduk yang cuba membantu keluarga tersebut.Ibu kepada tiga beradik berkenaan pula telah meninggalkan rumah kerana bimbang akan keselamatannya.Sementara itu, ketiga-tiga beradik itu meluahkan kebimbangan bahawa penderaan akan berulang memandangkan bapa mereka dijangka dibebaskan daripada tahanan dalam tempoh 10 hari.Pihak berkuasa memaklumkan mereka sedang bekerjasama dengan agensi berkaitan bagi mencari penyelesaian jangka panjang untuk memastikan tiga beradik berkenaan mendapat perlindungan, kembali bersekolah serta membesar dalam persekitaran yang selamat. -Agensi