Pelik... semua kucing tiba-tiba murung, rupanya petanda 'tuan' meninggal dunia - Viral | mStar

Pelik... semua kucing tiba-tiba murung, rupanya petanda 'tuan' meninggal dunia

Rosaleeza memberitahu arwah seorang yang penyayang dan sangat sukakan kucing.

SIAPA sangka, kucing yang dipelihara dan dibelai setiap hari tiba-tiba murung dan kurang aktif, tidak seperti kebiasaannya. Namun, selepas difikirkan, rupa-rupanya ia menjadi petanda keluarga itu bakal kehilangan insan tersayang.

Sukar untuk dipercayai, namun itu yang dialami seorang wanita, Rosaleeza Mohd Yakub yang kehilangan adik perempuannya, Rosizanie Amira, selepas terlibat kemalangan jalan raya kira-kira pukul 12.30 malam, Selasa lalu.

Menurut Rosaleeza, kucing yang dibela adiknya itu kelihatan sugul seolah-olah tahu nasib yang bakal menimpa tuan mereka yang berusia 23 tahun itu.

"Sebelum kami dimaklumkan adik terbabit dalam kemalangan, kami perasan kucing dia hanya diam saja.

"Sebelum ini kucing-kucing dia kalau nampak ada orang keluar rumah, mereka akan bising.

"Tapi malam itu kami keluar, kucing-kucing itu masih berjaga tetapi hanya diam dan pandang kami, seolah-olah turut bersedih dan tahu tuan mereka sudah tiada, ujarnya ketika dihubungi mStar Online.


Setiap hari sebelum ke tempat kerja Rosizanie akan menghabiskan masa selama 3 jam membersihkan 20 kucingnya.

Rosaleeza memberitahu adiknya itu ada memaklumkan kepada ibu, dia hendak keluar berjumpa rakannya untuk membuat rawatan bekam namun tidak sangka terbabit kemalangan ketika perjalanan pulang malam itu.

Bercerita lanjut, wanita berusia 26 tahun itu berkata, adiknya yang bekerja sebagai jurujual itu seorang yang penyayang dan sangat sukakan haiwan.

"Daripada sekolah menengah lagi dia memang seorang yang sangat sayangkan haiwan tak kira haiwan tu kucing atau anjing. Kalau dia nampak anjing sakit atau tak makan, dia sanggup berhenti tepi jalan dan beri ia makan.

"Dia ada bela kucing nak dekat 20 ekor macam tu. Semuanya yang dipungut dan dibawa balik untuk di jaga. Kalau ke kedai dia nampak anak kucing tak bertuan, dia akan bawa balik kucing itu untuk dibela.

"Boleh dikatakan gaji dia setiap bulan hanya tinggal suku sahaja untuk belanja dia. Selebihnya semua dibelanjakan untuk beli makan dan ubat kucing-kucing itu. Kami tahu sifat dia begitu jadi kami tak nak cakap apa sebab tahu sifat penyayangnya terhadap haiwan memang tinggi," ujarnya dengan nada sebak.

Mengimbau kembali kenangan manis bersama adiknya itu, Rosaleeza berkata Rosiazanie akan menghabiskan masa selama beberapa jam membersihkan kesemua kucing-kucingnya itu sebelum ke tempat kerja.

"Setiap hari dia akan bangun pagi-pagi untuk kemas sangkar kucing dan akan habiskan masa selama tiga jam untuk belek serta bersihkan kucing satu per satu sebelum ke tempat kerja.

Kisah Rosizanie mendapat perhatian ramai selepas sepupunya memuat naik status Selasa lalu.

"Namun selepas arwah tiada, saya yang mengambil alih tugas adik menjaga dan membersihkan kucing. Bagaimana arwah jaga mereka, saya cuba jaga mereka begitu juga. Ia serba sedikit dapat mengurangkan rasa rindu kepada adik.

"Saya bercakap dengan kucing-kucing dia yang tuan mereka sudah tiada namun mereka seolah-olah faham dan masuk sendiri ke dalam sangkar. Betullah orang cakap, kucing juga ada perasaan," katanya.

Kisah pemergian Rosizanie menghadap ilahi selepas terbabit kemalangan di Melaka Sentral, Selasa lalu mendapat perhatian ramai apabila sepupunya dengan Tweethandle @ntshrazi memuatnaik status meminta bantuan ramai mencari individu lain yang turut terlibat dalam kemalangan sama.

Perkongsian itu meraih perhatian ramai yang ingin membantu dengan lebih 12,000 ulang kicau dan lebih 4,000 tanda suka di laman Twitter.

"Malam tu ramai yang mengatakan ia kes langgar lari. Tapi selepas meneliti CCTV di lokasi kejadian, pihak polis menyatakan ia bukan kes langgar lari dan masih dalam siasatan pihak polis.

"Individu terbabit juga sudah memberi kenyataan kelmarin. Kami serahkan kepada polis untuk lakukan siasatan, katanya.

Jenazah Rosizanie dikebumikan di Tanah Perkuburan Kg Padang, Melaka pada Rabu.

Bercerita mengenai perwatakan adiknya itu, Rosaleeza sebagai ahli keluarga yang paling rapat dengan arwah memberitahu adiknya itu seorang yang periang dan suka menyakat adik-beradik lain.

"Saya antara yang paling rapat dengan arwah dalam rumah ni. Saya boleh katakan arwah seorang yang periang, gila-gila, dia suka sakat adik-beradik lain dan anak buah.

"Memang dialah yang akan meriuhkan rumah ni. Bila dia sudah tiada, saya sangat-sangat terasa.

"Mak sukar untuk terima kerana dia asyik teringat arwah sebab dia seorang yang sangat periang di rumah. Mak beritahu dia terbayang-bayangkan arwah. Sudah ajal, Allah lebih sayangkan dia jadi kami reda," jelasnya.

Jenazah Rosizanie selamat disembahyangkan di Masjid Ul-Ukhuwah, Kg Padang, Melaka dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kg Padang, Melaka, Rabu.

kucing , meninggal , petanda