"Lepas ni nak peluk mama hari-hari, tak kira" - Anak lega ibu tak terguris selepas luahan perasaannya tular - Viral | mStar

"Lepas ni nak peluk mama hari-hari, tak kira" - Anak lega ibu tak terguris selepas luahan perasaannya tular

KUASA viral, jika digunakan dengan betul pastinya membawa 1001 manfaat buat kita semua.

Terbaharu, kegusaran hati seorang gadis yang kekok untuk memeluk ibu bapanya menemui sinar baharu setelah kisah itu dilaporkan dalam mStar Online.

ARTIKEL BERKAITAN: Anak kekok nak peluk mak ayah resah, "Mereka dah tak ada nanti, mesti saya menyesal"

Sara Amina Amin sebelum ini membuat luahan mengenai apa yang terbuku di hatinya menerusi laman Twitter sehingga menerima lebih 16,000 ulang kicau (Retweet).

Sejurus laporan mengenai kisah itu diterbitkan mStar Online pada Khamis, dia terus dihubungi oleh ibunya.

Paparan skrin Tweet Sara yang tular sebelum ini.

"Ibu mesej saya. Dia dapat tahu pasal artikel tu melalui kawan dia. Tapi selepas balik petang tu, dia tanya apa saya buat sampai viral?

"Masa mula-mula dia tahu, saya takut dia akan terguris. Tapi bila berdepan dengannya, dia bagi respon positif. Saya rasa lega dan gembira sangat.

"Masa dia tanya, saya senyap je. Saya bagi dia baca artikel tu. Kemudian dia hantar 'link' pada saudara-mara yang lain, mereka semua bagi dorongan suruh peluk.

"Waktu peluk tu memang saya menangis, dia pun menangis tapi tak keluar suara pun. Lama juga kami berpeluk, dalam seminit," ujarnya pada Jumaat.

Saya juga cakap, lepas ni nak peluk mama hari-hari, tak kira. Dia angguk je.

Sara Amina Amin

Menurut Sara lagi, dia juga lega kerana kedua ibu bapanya faham apa yang terbuku di dalam hatinya setelah perkongsiannya tempoh hari menjadi tular.

Malah, Sara juga berhasrat untuk memeluk ibu bapanya setiap hari, selepas ini.

"Ada perubahanlah, ini merupakan langkah awal. Memang rasa kekok tu belum hilang lagi, tapi lama kelamaan mesti akan OK.

"Saya juga cakap, lepas ni nak peluk mama hari-hari, tak kira. Dia angguk je.

"Papa saya pun sokong, begitu juga dengan abang saya. Dia akui terkesan dengan tweet saya," kongsi Sara lagi.

Sara masih lagi menetap bersama kedua orang tuanya di Ampang, Selangor.

Tambah gadis itu, dia faham dengan ibu bapanya yang jarang menzahirkan kasih sayang menerusi pelukan mesra, seperti keluarga lain.

Malah, dia langsung tidak menyalahkan mereka, sebaliknya bersyukur dikurniakan ibu bapa yang sempurna.

Pada Khamis, mStar Online melaporkan kisah Sara setelah ia tular di Twitter.

Ujar Sara, dia yang kekok sebelum ini berhasrat untuk memeluk ibu bapanya kerana tidak biasa berbuat demikian.

Pada masa sama, dia juga bimbang seandainya akan menyesal jika tidak berbuat demikian setelah pemergian ibu bapanya kelak.

Ibunya berbangsa Cina manakala bapanya pula berdarah Melayu dan Sara merupakan anak bongsu daripada tiga beradik yang menetap bersama mereka di Ampang, Selangor.

 

Sara Amina Amin , peluk , ibu , cium , kekok