suria

“Mungkin doktor maksudkan telur penyu” - Suhaimi Saad bidas angkasawan negara

Suhaimi (kiri) dan Dr Sheikh Muszaphar.

PERDEBATAN mengenai bentuk bumi sama ada rata atau sfera terus hangat diperkatakan apabila bekas anggota kumpulan nasyid, Suhaimi Saad membidas kenyataan Angkasawan Negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor.

Terdahulu, Dr Sheikh Muszaphar berpendapat bahawa bumi itu berbentuk sfera atau lebih tepat adalah geosfera.

Namun apa yang menarik perhatian Suhaimi yang menggelarkan dirinya sebagai SS di media sosial adalah kenyataan Dr Sheikh Muszaphar bahawa ‘ia bukan seperti bola, tetapi lebih kepada sebiji telur’.

“Besar harapan netizen dan rakyat Malaysia ni nak dengar doktor kata sfera. Tup tup tup, doktor kata macam telur pula.

“Yang SS tahu, sfera tu macam bola. Telur tu macam bujur sikit. Dalam buku sekolah pun memang diajar sfera kan? Ke macam telur? Okey, SS husnuzon. Mungkin doktor maksudkan telur penyu,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Dicabar bersumpah bumi rata, jawab Dr Sheikh Muszaphar "Bukan seperti bola, tapi sebiji telur"


Bentuk sebenar Bumi.

Suhaimi turut menyindir Dr Sheikh Muszaphar bahawa pandangan angkasawan itu adalah berdasarkan pemerhatian sewaktu ke angkasa lepas 10 tahun lalu.

“Sebab doktor tengok tu pun dah lebih 10 tahun kan. Mungkin dah tak berapa pasti,” katanya.

Dia turut mempersoalkan cabarannya terhadap Dr Sheikh Muszaphar supaya bersumpah bahawa bumi itu berbentuk sfera.

“Mungkin doktor tak berapa jelas apa yang SS maksudkan dengan sumpah. Walaupun sebenarnya SS dah tulis dengan jelas.

“MasyaAllah... SubhanAllah dan In the name of Allah (dengan nama Allah) bukanlah lafaz sumpah itu zikir biasa.

“Elok lah Dr tak bersumpah. SS takut juga kalau Dr termakan sumpah,” kata Suhaimi sambil menambah bahawa dia tidak akan menghentikan kajian mengenai bentuk ini mahupun membantu berdakwa untuk golongan ‘flat Earth’ yang mempercayai bumi itu adalah rata 

Paparan skrin mengenai perkongsian Suhaimi di halaman Facebook miliknya.

Dr Sheikh Muszaphar pada pagi Jumaat berkongsi pengalamannya sebagai angkasawan Islam yang kesembilan menerokai angkasa lepas.

Sepanjang misi selama 12 hari di angkasa lepas pada Oktober 2007, Dr Sheikh Muszaphar mengakui bahawa bumi berbentuk sfera.

“Bergetar jiwa sepanjang 12 hari di sana. MasyaAllah, subhanAllah... dan bumi adalah bentuk sfera, atau dengan lebih tepat berbentuk geosfera. – ‘keadaan seperti memenyekkan’ (squashed) di bahagian kutub dan ‘membonjol’ (bulged) di khatulistiwa.

“Bukan seperti sebiji bola, tetapi lebih kepada sebiji telur. Setiap manusia sepatutnya pergi ke angkasa lepas sekiranya diberikan peluang,” katanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain