suria

Dicabar bersumpah bumi rata, jawab Dr Sheikh Muszaphar "Bukan seperti bola, tapi sebiji telur"

KECOH mengenai teori bumi mendatar, meskipun bumi sebenarnya berbentuk sfera. Itu belum lagi dakwaan bahawa bumi umpama donut!

Namun bekas anggota kumpulan nasyid In Team, Suhaimi Saad berani membincangkan mengenai persoalan bahawa bumi ini adalah rata sebagaimana yang didakwa oleh golongan ‘flat Earth’ yang selama ini mempercayai fakta itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Selain teori bumi mendatar, ada yang dakwa bumi berbentuk seperti donat gergasi

Dia kemudian secara terbuka mencabar Angkasawan Negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor untuk bersumpah dengan nama Allah mengatakan bumi adalah sfera. 

Pada Rabu, Suhaimi yang menggelarkan dirinya sebagai SS di laman sosial memberitahu sekiranya angkasawan negara itu berbuat demikian, dia akan menghentikan kajian berhubung bentuk bumi, malah membantu berdakwah untuk golongan ‘flat Earth’.

Susulan desakan itu, Dr Sheikh Muszaphar secara terbuka menjawab desas-desus mengenai persoalan adakah bumi ini sebenarnya rata.

Paparan skrin perkongsian Suhaimi di laman Facebook miliknya.

Sebagai angkasawan Islam yang kesembilan menerokai angakasa lepas, beliau memberitahu adalah menjadi tanggungjawab untuk menjelaskan fakta sebenar.

ARTIKEL BERKAITAN: “Mungkin doktor maksudkan telur penyu” - Suhaimi Saad bidas angkasawan negara

Dr Sheikh Muszaphar berkongsi pengalamannya mengelilingi bumi sebanyak 16 kali sehari dengan setiap 45 minit matahari terbit dan terbenam, mengelilingi orbit dengan kelajuan 27,000 kilometer sejam.

“Laungan azan kedengaran seketika. Bibir terkumat kamit terpegun dengan kebesaran Ilahi. Melihat bumi dengan mata sendiri.

“Degupan jantung berhenti seketika, meremang bulu roma, mata tidak terkebil... melihat kebesaran Maha Pencipta. Amat sukar untuk digambarkan suasana di angkasa lepas,” katanya menerusi posting di laman sosial Instagramnya, pagi Jumaat.

Sepanjang misi selama 12 hari di angkasa lepas, Dr Sheikh Muszaphar mengakui bahawa bumi berbentuk sfera.

Penjelasan panjang lebar di Instagram angkasawan negara.

“Bergetar jiwa sepanjang 12 hari di sana. MasyaAllah, subhanAllah... dan bumi adalah bentuk sfera, atau dengan lebih tepat berbentuk geosfera. – ‘keadaan seperti memenyekkan’ (squashed) di bahagian kutub dan ‘membonjol’ (bulged) di khatulistiwa.

“Bukan seperti sebiji bola, tetapi lebih kepada sebiji telur. Setiap manusia sepatutnya pergi ke angkasa lepas sekiranya diberikan peluang,” katanya.

Beliau turut memberitahu peluang itu akan mengubah perspektif mengenai kehidupan secara menyeluruh, dan membuatkan kepercayaan terhadap kebesaran Maha Pencipta.

Bentuk sebenar bumi.

“Pengalaman itu benar-benar mengagumkan dan hebat. Sukar untuk mengubah minda golongan yang mempercayai bumi itu adalah rata.

“Tetapi saya berkongsi pengalaman tentang apa yang saya telah lihat dengan nama Allah dari hati,” katanya.

Dr Sheikh Muszaphar merupakan angkasawan pertama negara, berlepas ke angkasa dengan menaiki roket Soyuz TMA -11 yang dilancarkan oleh Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) pada 10 Oktober 2007.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain