suria

Jenayah keldai akaun: Bersedia beri penjelasan transaksi mencurigakan atau berdepan tindakan - BNM

BNM sedia panduan kepada institusi kewangan untuk kenalpasti akaun yang berkemungkinan digunakan bagi tujuan jenayah.

PEMILIK akaun dengan transaksi mencurigakan perlu bersiap sedia dengan dokumen sokongan untuk menjelaskan tentang sumber kewangan berkenaan atau berdepan dengan tindakan undang-undang.

Tindakan red flag ini diambil antara lain bagi memastikan supaya institusi kewangan tidak dijadikan conduit kepada aktiviti jenayah seperti keldai wang, pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan.

ARTIKEL BERKAITAN: Sindiket rekrut keldai akaun bersepah di media sosial!

ARTIKEL BERKAITAN: Ah Long berselindung di sebalik keldai akaun, upah orang buat kerja kotor

Bank Negara Malaysia (BNM) dalam maklumbalasnya kepada mStar berkata, setiap institusi kewangan telah diberi panduan yang antara lain turut menggariskan indikator berkaitan jenayah keldai, tipologi terbaharu jenayah penipuan, trend dan cara pelaksanaannya.

Bagi individu yang gagal memberi penjelasan mengenai transaksi 'mencurigakan', bank akan menghantar Laporan Transaksi Mencurigakan (STR) kepada BNM untuk membolehkan siasatan lanjut di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Amla) dilakukan.

Transaksi mencurigakan ini termasuklah penerimaan deposit pada jumlah yang agak luar biasa atau penerimaan deposit pada jumlah yang kecil namun pada kekerapan yang sedikit luar biasa berbanding dengan corak transaksi akaun tersebut pada sebelumnya.

“Selain itu indikator lain yang boleh digunakan bank untuk mengenal pasti aktiviti keldai wang adalah transaksi ditarik balik oleh bank penghantar kerana penipuan atau scam, bank menerima laporan daripada mangsa penipuan atau scam atau bank menerima laporan rasmi dengan disertakan laporan polis oleh individu terhadap pemilik akaun yang dipercayai terlibat dengan penipuan, skim penipuan, dan atau bertindak sebagai keldai akaun,” katanya.

mStar sebelum ini melaporkan mengenai kebanjiran hantaran yang mempromosikan wang mudah kepada orang ramai yang hanya perlu menyewakan akaun serta kad bank milik mereka untuk digunakan individu lain.



Laporan mStar sebelum ini.

Menurut BNM, walaupun ancaman keldai wang kini masih dalam kawalan, aktiviti tersebut jika dibiarkan boleh mengakibatkan kerugian kepada orang ramai seterusnya menjejaskan reputasi institusi kewangan.

Berdasarkan penilaian yang dilakukan BNM, akaun individu dilihat lebih cenderung untuk disalahgunakan sebagai akaun keldai namun terdapat juga akaun syarikat yang menunjukkan transaksi mencurigakan.

“Tidak kira apa jenis akaun sekali pun, institusi kewangan perlu menjalankan ketekunan wajar pelanggan (customer due diligence) sekiranya risiko pengubahan wang dan aktiviti pembiayaan keganasan, tinggi.

“Ini termasuk, tetapi tidak terhad kepada, mendapatkan maklumat tambahan mengenai pemilik benefisial pelanggan, dan bertanya tentang sebab-sebab transaksi yang dimaksudkan atau dilakukan,” katanya lagi.

Penjenayah keldai wang boleh didakwa di bawah seksyen 424 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan wang secara tidak jujur, seksyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil 1955 kerana memiliki barang curi dan Seksyen 4 Akta Pencegahan Pengubahan Wang (Amla) kerana melakukan pengubahan wang haram.

Selain itu bank pengeluar juga boleh menamatkan penggunaan kad ATM pengguna sekiranya individu terbabit didapati terlibat dengan jenayah keldai wang.

Selain institusi kewangan, BNM turut bekerjasama dengan polis melalui perkongsian maklumat bagi memastikan tindakan dapat diambil pada masa yang tepat.

Masyarakat juga katanya diberi pendedahan mengenai aktiviti penipuan dan keldai melalui siaran di televisyen, radio dan platform rasmi BNM di media sosial dan laman Facebook Amaran Scam.

“BNM bersama-sama dengan institusi kewangan dan pihak berkuasa sentiasa mengingatkan masyarakat untuk tidak mendedahkan atau kongsi akaun bank dan maklumat peribadi dengan pihak ketiga, jangan terima tawaran untuk melakukan transaksi bayaran ke akaun ketiga dan jangan beri nombor ATM card, pin dan maklumat dalam talian kepada pihak ketiga,” katanya.

Orang ramai juga diminta untuk periksa sebelum membuat transaksi di CCID Scam Response Centre (03-26101559 / 03-26101599), Semak Mule portal (https://ccid.rmp.gov.my/semakmule/) atau melalui Whatsapp ke CCID Infoline (013-2111222).

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain