suria

Covid-19: Penggunaan katil ICU di Johor, Kelantan dan KL melebihi 50 peratus

Malaysia merekodkan angka harian tertinggi kes Covid-19 iaitu sebanyak 28,825 kes pada Sabtu. Gambar hiasan

JOHOR, Kuala Lumpur dan Kelantan merekodkan lebih 50 peratus penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) bagi pesakit Covid-19.

Dalam satu kenyataan pada Sabtu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kadar penggunaan ICU di Johor ialah 70 peratus, manakala di Kuala Lumpur adalah 64 peratus dan 50 peratus di Kelantan.

Selain itu, sepuluh negeri menunjukkan lebih daripada 50 peratus kadar penggunaan katil bukan ICU; Selangor (95 peratus), Kelantan (93 peratus), Putrajaya (92 peratus), Perlis (90 peratus), Sabah (82 peratus), Johor (82 peratus), Kuala Lumpur (72 peratus), Perak (70 peratus), Pahang (55 peratus) dan Pulau Pinang (50 peratus).

ARTIKEL BERKAITAN: Kes Covid-19 dijangka naik mendadak - Khairy

Selain itu, lapan negeri menunjukkan lebih 50 peratus pengisian katil di pusat kuarantin berisiko rendah (PKRC) Covid-19 iaitu Selangor (83 peratus), Terengganu (59 peratus), Sabah (58 peratus), Perak (58 peratus), Melaka (53 peratus), Negeri Sembilan, Perlis dan Kelantan masing-masing 51 peratus.

Jumlah pesakit Covid-19 yang memerlukan bantuan pernafasan telah meningkat kepada 130, dengan peratusan penggunaan ventilator kini pada 37 peratus.

Dr Noor Hisham berkata secara keseluruhan kapasiti fasiliti kesihatan di hospital kementerian masih mampu menampung kes Covid-19 dan bukan Covid-19.

"Namun begitu setiap negeri telah bersiapsiaga dengan pelan tindak balas cepat sekiranya didapati kapasiti fasiliti semakin penuh," kata Dr Noor Hisham.

Pada Sabtu (19 Feb), Malaysia merekodkan angka harian tertinggi kes Covid-19 iaitu sebanyak 28,825 kes, menjadikan jumlah kumulatif jangkitan di negara ini kepada 3,194,848.

Dr Noor Hisham berkata daripada 28,825 kes itu, 95 kes atau 0.33 peratus adalah dalam Kategori 3, 4 dan 5.

Baki 28,730 kes (99.7 peratsu) adalah jangkitan dalam Kategori 1 dan 2.

Dr Noor Hisham juga berkata terdapat sembilan kes kematian baharu Covid-19, termasuk empat kes diklasifikasikan sebagai 'brought-in-dead' (BID).

Kementerian Kesihatan juga telah mengenal pasti 12 kluster baharu Covid-19, menjadikan jumlah kluster yang aktif setakat ini kepada 492 kluster. - THE STAR

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain