suria

Sekat bukan penyelesaian jitu! SKMM saran subjek literasi digital di sekolah, elak orang ramai jadi mangsa penjenayah alaf baharu

Masyakarat perlu didedahkan dengan ilmu digital sejak di sekolah.-Gambar hiasan

SUDAH tiba masanya mata pelajaran literasi digital diperkenalkan dalam kurikulum sekolah untuk memperkasakan ilmu pengetahuan masyarakat serta mengelakkan mereka daripada menjadi mangsa penjenayah khususnya di media sosial.

Ketua Pegawai Kawal Selia Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Zulkarnain Mohd Yasin ketika ditanya mengenai lambakan iklan yang mempromosikan perkhidmatan haram di media sosial berkata, tidak seperti apa yang disangkakan orang ramai, SKMMsebenarnya tidak mempunyai kuasa untuk menyekat hantaran yang dibuat di platform berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] Awas! Ah Long makin ganas... 'godam' telefon peminjam, data peribadi umpan diugut

ARTIKEL BERKAITAN: Sindiket rekrut keldai akaun bersepah di media sosial!

Malah katanya, SKMM dan Pembekal Perkhidmatan Internet (ISP) tidak menjalankan pemantauan besar-besaran atau pengawasan terhadap mana-mana media sosial atau emel selaras dengan pendirian kerajaan untuk memastikan hak kebebasan bersuara dan privasi rakyat Malaysia.

“Kami tidak memantau hantaran di media sosial, tetapi jika kami menerima aduan sama ada daripada agensi penguatkuasaan undang-undang atau orang ramai, kami akan membantu dengan melaporkannya kepada penyedia platform.

"Penyedia platform kemudiannya akan menilai sama ada aktiviti atau hantaran itu melanggar syarat perkhidmatan komuniti mereka dan memutuskan sama ada ia perlu diturunkan," katanya dalam satu temubual eksklusif bersama mStar.



Zulkarnain berkata SKMM tidak mengawasi mana-mana media sosial selaras dengan pendirian kerajaan untuk memastikan hak kebebasan bersuara dan privasi rakyat Malaysia.

mStar sebelum ini melaporkan mengenai isu lambakan iklan yang mempromosikan perkhidmatan haram seperti pinjaman wang tidak berlesen dan sindiket mencari akaun keldai.

Selain media sosial, semakan mStar sebelum ini turut mendapati terdapat puluhan aplikasi pinjaman wang haram di Play Store yang berupaya 'mencuri' data serta maklumat pengguna yang memuatnaik aplikasi tersebut ke telefon bimbit mereka.



Laporan mStar mengenai lambakan iklan perniagaan haram termasuk sewa akan bank di media sosial.

Menurut Zulkarnain, SKMM bagaimanapun mempunyai kuasa serta telah mengambil tindakan terhadap laman web, portal dan aplikasi yang didapati melanggar undang-undang.

“Dari segi penguatkuasaan ke atas aktiviti haram yang anda sebut, pinjaman wang, akaun keldai dan lain-lain, ia bukan dalam bidang kuasa SKMM tetapi walaubagaimanapun, kami mempunyai kuasa di bawah Seksyen 263 Akta SKMM untuk menghalang akses kepada laman web, portal atau aplikasi yang dilaporkan kepada kami kerana melanggar undang-undang negara.

“Ini adalah jenis sokongan yang kami berikan kepada agensi penguatkuasaan undang-undang, kami menyediakan bantuan teknikal untuk menghalang akses kepada laman web atau aplikasi dan kepakaran forensik jika ia melibatkan premis yang diserbu,” katanya.

Sehingga kini SKMM telah menghalang akses kepada lima laman web yang melanggar Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 susulan permohonan rasmi daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

KPKT merupakan badan yang mengeluarkan lesen kepada syarikat pinjaman kredit.



Satu lagi laporan mStar mengenai isu Ah Long yang menggunakan aplikasi mudah alih.

Zulkarnain bagaimanapun percaya bahawa mengharamkan atau menyekat laman web bukanlah penyelesaian yang jitu kepada permasalahan ini.

“Orang ramai perlu faham bahawa sindiket ini mungkin mempunyai beberapa pelayar lain, jika kita halang akses pada satu laman web, mereka akan berhijrah ke yang lain,” tambahnya.

Beliau berkata walaupun terdapat undang-undang tertentu yang boleh digunakan terhadap pesalah dalam talian, pihak berkuasa biasanya akan menghadapi kesukaran untuk mengenal pasti dan mengesan pesalah yang berselindung di sebalik nama dan IP (Internet Protokol) samaran.

“Orang ramai bercakap tentang kebocoran data tetapi apa yang mereka tidak sedar ialah mereka yang memberikan data peribadi mereka secara bebas dengan membenarkan akses kepada aplikasi tertentu yang mereka muat turun.

“Jadi itulah sebabnya pertahanan terbaik adalah untuk mengakui risiko, memahami risiko dan belajar bagaimana untuk berdepan dengan risiko tersebut, di sini pentingnya untuk mempunyai set kemahiran baharu dan pengetahuan digital,” katanya.

Beliau berkata pelajaran literasi digital perlu diajar di sekolah rendah memandangkan kanak-kanak diberi telefon bimbit sejak usia muda.

“Kita nasihat mereka untuk jangan bercakap dengan orang yang tidak dikenali tetapi kita tak pernah kaitkan dengan media sosial, platform digital, risiko dan cara menanganinya.

"Ia sepatutnya bermula dari sekolah rendah sebab kanak-kanak lima tahun pun dah ada telefon bimbit dan mereka boleh melayari laman web yang mungkin ibu bapa mereka tidak tahu," tambahnya.

MCMC katanya ketika ini menumpukan kepada program advokasi pengguna dan kempen kesedaran jenayah siber melalui program Click Wisely (KDB) dan Malaysian ICT Volunteer (MIV).

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain