suria

Eksklusif buat peminat Malaysia, Afgan pertama kali ‘belanja’ semua lagu Retrospektif... Tampil persembahan penuh emosi

Afgan menghiburkan peminat dengan lebih 20 buah lagu hit.

PENYANYI Afgan menghadiahkan malam penuh istimewa kepada peminat di Malaysia apabila buat julung kalinya mempersembahkan kesemua lagu daripada album terbaharu berjudul Retrospektif dalam konsert yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada malam Sabtu. 

Penganjuran konsert kali ini membawa makna lebih mendalam apabila ia menjadi lokasi pertama penyanyi berkenaan memperdengarkan keseluruhan karya dalam album tersebut.

Menurut Afgan atau Afgansyah Reza, 36, Retrospektif merupakan naskhah istimewa yang menandakan kemunculan semulanya dalam album berbahasa Indonesia selepas tujuh tahun.

Afgan menghiburkan peminat dengan lagu-lagu dalam album Retrospektif.

"Retrospektif adalah album bahasa Indonesia selepas tujuh tahun saya tidak merakamkan album berbahasa Indonesia. 

"Saya gembira dapat kembali ke Malaysia. Saya akan menyanyikan kesemua lagu dalam album baru ini buat pertama kalinya hanya di Kuala Lumpur. 

"Di Jakarta pun belum ada, jadi anda semua dapat mendengar secara ekslusif untuk album ini. Ia bermakna anda semua sangat istimewa buat saya," katanya. 

ARTIKEL BERKAITAN: Afgan kongsi rasa dalam ‘Retrospektif’, karya lebih matang selepas bereksperimen

ARTIKEL BERKAITAN: Afgan kembali pertaruhkan ‘Kacamata’, sesuai dengan imej sendiri... Beri mesej buat pendengar

Konsert yang menghimpunkan lebih 2,000 peminat setia itu berlangsung dalam suasana penuh emosi apabila setiap lagu daripada album Retrospektif dipersembahkan dengan susunan muzik yang lebih bertenaga. 

Pentas Zepp Kuala Lumpur turut dihiasi pencahayaan dramatik dan visual artistik yang menguatkan lagi perjalanan muzik sepanjang persembahan, seolah-olah membawa penonton menyelami makna di sebalik album tersebut.

Antara detik paling mencuri tumpuan ialah ketika seorang peminat bertuah dipanggil naik ke atas pentas selepas penyanyi itu terbaca permintaannya untuk mendapatkan ucapan hari lahir.

Sorakan gemuruh memenuhi dewan apabila jejaka itu menerima peluang istimewa untuk beramah mesra dengan idolanya.

Afgan menghiburkan lebih 2,000 peminat di Kuala Lumpur.

Afgan juga dilihat beberapa kali mengambil telefon pintar peminat untuk merakamkan swafoto, menjadikan suasana lebih intim dan mencetuskan gelombang sorakan setiap kali aksi spontan itu berlaku.

Konsert hampir tiga jam itu dimeriahkan dengan lebih 20 buah lagu hit yang pernah mengangkat nama Afgan dalam industri muzik tanah seperti Terima Kasih Cinta, Bukan Cinta Biasa, Jodoh Pasti Bertemu, Entah, Panah Asmara dan Lenggang Puspita. 

Pelancaran album Retrospektif di Kuala Lumpur bukan sahaja menjadi sejarah baharu dalam kerjayanya, tetapi turut meninggalkan memori manis antara Afgan dan para peminatnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain