suria

RUU Finas (Pindaan) 2025 diluluskan, jamin ekosistem lebih selamat... Kebajikan penggiat seni terbela

Datuk Fahmi (kanan) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib.

DEWAN Rakyat, meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Pindaan) 2025 sekali gus menjadi langkah baharu kerajaan dalam memperkukuh tadbir urus dan fungsi kawal selia industri perfileman negara.

RUU yang dibentangkan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menerangkan bahawa pindaan berkenaan penting bagi memastikan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) kekal relevan dan efektif dalam memacu pembangunan industri filem selari dengan perubahan teknologi dan trend penerbitan masa kini.

"Pindaan ini menyelaraskan Akta Finas 1981 dengan keperluan industri semasa serta perkembangan teknologi terkini, termasuk platform digital, Over The Top (OTT) dan evolusi produksi kandungan kreatif tempatan.

Datuk Fahmi bersama kepimpinan Finas selepas Dewan Rakyat meluluskan RUU.

"Pindaan ini juga memastikan dasar serta peraturan subsidiari di bawah Finas kekal relevan, responsif dan menyokong pembangunan industri bagi jangka masa panjang," katanya dalam satu kenyataan kepada media.

Fahmi menjelaskan bahawa walaupun perkhidmatan video-on-demand (VOD) seperti Netflix, Viu, Disney+ Hotstar, Amazon Prime serta platform tempatan seperti Astro Go, Tonton dan Sooka menjadi sebahagian daripada ekosistem kandungan, namun masih dikecualikan daripada keperluan pelesenan.

"Bagi platform digital, hanya aktiviti pengeluaran (production) dan pengedaran (distribution) filem tertakluk di bawah kawal selia Finas.

"Aktiviti pemameran (exhibition) pula hanya boleh dikuatkuasakan sekiranya pelesenan VOD diwujudkan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya lagi,

ARTIKEL BERKAITAN: Finas sedia bantu masa depan anak-anak Dharma Harun… “Arwah bangga mereka pelajar cemerlang”

ARTIKEL BERKAITAN: FFM34 bukti industri kreatif Malaysia makin matang, rai kejayaan pelapis muda

Kerajaan turut menegaskan bahawa pindaan ini bukan bertujuan menyekat kreativiti penggiat industri, sebaliknya memastikan ekosistem produksi lebih selamat, tersusun dan profesional.

Jelasnya, Akta 244 sudah meliputi semua bentuk aktiviti pengeluaran dan pengedaran komersial termasuk filem, drama, dokumentari, animasi serta iklan yang ditayangkan di televisyen, satelit, pawagam, OTT dan media sosial.

Melalui pindaan berkenaan, Finas akan memperincikan perlindungan dalam peraturan subsidiari meliputi kebajikan kru dan pekerja produksi, kontrak standard, jaminan pembayaran, keselamatan kerja, perlindungan insurans seperti PERKESO serta aspek keselamatan produksi dan set penggambaran.

Finas turut menyambut baik kelulusan pindaan tersebut kerana ia membolehkan perbadanan itu terus berfungsi sebagai peneraju industri yang lebih moden, telus dan berintegriti selaras dengan kemajuan teknologi serta keperluan industri perfileman negara.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain