suria

FFM34 bukti industri kreatif Malaysia makin matang, rai kejayaan pelapis muda

Babah dinobatkan sebagai Filem Terbaik FFM34.

KEJAYAAN penganjuran Festival Filem Malaysia ke-34 (FFM34) pada 1 November lalu menjadi kebanggaan besar buat Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) apabila acara berprestij itu diraikan penuh keindahan dan semangat juang oleh penggiat seni kreatif tempatan.

Pengerusi Finas, Datuk Hans Isaac, berkata FFM34 bukan sekadar meraikan karya terbaik, malah turut mencerminkan kematangan industri perfileman Malaysia yang kini melangkah ke fasa baharu.

Katanya Finas amat berbangga dengan kejayaan itu dan bertekad untuk terus memperkukuh usaha menjadikan filem Malaysia sebagai jenama yang dihormati, bukan sekadar di rantau ini, malah di pentas dunia.

Hans anggap  industri perfileman Malaysia yang kini melangkah ke fasa baharu.

“FFM34 menjadi simbol semangat perjuangan dan kreativiti tanpa sempadan para penggiat seni tanah air.

“Kita menyaksikan bagaimana pengarah, pelakon, penulis skrip serta seluruh tenaga produksi berganding bahu menjayakan industri yang bukan sahaja menghibur, tetapi turut mendidik dan menyentuh hati masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu. 

Hans turut menzahirkan penghargaan kepada Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, atas sokongan dan hala tuju jelas dalam memperkukuh ekosistem perfileman negara.

ARTIKEL BERKAITAN: Azmir Saifuddin kekal sebagai CEO Finas, letak empat fokus utama

ARTIKEL BERKAITAN: Hans Isaac kembali dilantik sebagai Pengerusi Finas

“Finas amat menghargai bimbingan dan visi progresif beliau yang sentiasa mengangkat seni serta budaya sebagai teras pembentukan bangsa.

“Kami akan terus memainkan peranan strategik dalam menjayakan aspirasi ini,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib pula menyifatkan FFM34 sebagai ‘hari raya’ buat warga industri yang menjadi tempat para karyawan meraikan pencapaian, berkongsi inspirasi dan mengeratkan silaturahim.

Industri filem kita kini bernafas segar.

DATUK AZMIR SAIFUDDIN MUTALIB

KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF FINAS

Katanya, festival kali ini turut memperlihatkan bagaimana industri semakin memberi pengiktirafan kepada pengarah muda yang tampil dengan karya segar dan berani.

“Kemunculan nama-nama baharu ini membuktikan generasi muda kini bersedia membawa filem Malaysia ke peringkat global.

“Industri filem kita kini bernafas segar, melangkah ke puncak baharu dengan gabungan tenaga muda dan pengalaman lama,” katanya.

Azmir turut menegaskan bahawa kemajuan industri tidak boleh digerakkan secara bersendirian, sebaliknya memerlukan kerjasama erat antara semua pihak, termasuk media dan rakan strategik.

Wajah-wajah baharu mula menyinari pentas FFM34.

“Peranan Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) amat penting dalam memperluas capaian promosi serta memberi idea baharu bagi memastikan filem tempatan terus relevan dan dekat di hati rakyat.

“Finas amat menghargai peranan media serta penggiat seni yang terus bersama kami memartabatkan industri,” ujarnya lagi.

Pada malam kemuncak FFM34 yang berlangsung di Auditorium Seri Angkasa, Kota Media, Kuala Lumpur, filem Babah dinobatkan sebagai Filem Terbaik.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain