suria

Afgan kembali pertaruhkan ‘Kacamata’, sesuai dengan imej sendiri... Beri mesej buat pendengar

Afgan muncul dengan single baharu berjudul Kacamata.

PENYANYI Afgan kembali menghangatkan arena muzik pop dengan single baharu berjudul 'Kacamata' yang turut dimuatkan dalam album Retrospektif.

Menurut Afgan atau Afganshah Reza, 36, selepas tujuh tahun tidak melancarkan album berbahasa Indonesia sepenuhnya, Retrospektif menjadi simbol kepulangan dia kepada gaya muzik asal yang membawa namanya dikenali ramai.

"Bagi saya, Kacamata sangat mewakili era itu. Selama 15 tahun berkarya, saya dikenali dengan imej berkaca mata dan lagu-lagu pop, jadi secara simbolik, single ini amat tepat untuk membuka tirai album baharu saya," katanya.

Afgan turut bekerjasama dengan tiga komposer hebat untuk menghasilkan lagu Kacamata.

Dalam pada itu, Afgan juga berkongsi bahawa lagu ini membawa mesej yang mendalam kepada pendengar.

"Jangan terlalu berharap pada manusia, kerana satu-satunya yang boleh kita sandarkan hanyalah Tuhan. Lagu ini ibarat peringatan untuk kita semua agar tidak kehilangan diri sendiri ketika berhadapan dengan kekecewaan.

"Dengan ritma yang ringan dan lirik yang mudah diingati, Kacamata ialah lagu yang memberi rasa positif sekali gus membuat pendengar tersenyum di tengah kegalauan, menyedarkan kita bahawa hidup tak selamanya berat, dan mengajak kita menikmati setiap fasa kehidupan," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Afgan kembali temui peminat Malaysia dengan ‘Retrospektif Showcase’ Disember ini

ARTIKEL BERKAITAN: Rasmi jadi ‘Pak Haji’, Afgan ke Makkah berbekal niat dan tekad

Mengulas lanjut berhubung penghasilan lagu 'Kacamata', Afgan memberitahu dia turut bekerjasama dengan tiga pemuzik berbakat iaitu Iqbal Siregar, Petra Sihombing, dan Kamga Mohammed dalam menghasilkan lagu Kacamata ini. 

Tambahnya, proses rakaman juga berjalan lancar mengambil masa hanya dalam setengah hari. 

"Iqbal membawa idea awal berupa melodi yang menarik untuk bahagian korus, yang kemudian dikembangkan bersama hingga siap dalam tempoh hanya dua jam. Petra bertindak sebagai penerbit dan komposer, manakala Kamga turut berperanan sebagai pengarah vokal di samping menjadi komposer bersama.

"Proses rakaman lagu ini berlangsung pantas namun teratur yang mana sesi rakaman vokal diselesaikan dalam setengah hari, manakala keseluruhan produksi muzik termasuk proses 'mixing' dan 'mastering' disiapkan dalam tempoh sekitar dua bulan," ujarnya. 

Lagu 'Kacamata' mengekalkan identiti pop yang sinonim dengan Afgan, namun diperkaya dengan elemen R&B moden dan produksi muzik yang lebih kontemporari. 

Afgan bakal muncul dengan album baharu berjudul Restrospektif pada November ini.

Dari segi tema, lagu ini membawa kisah tentang seseorang yang sanggup mengubah diri dan sudut pandangnya demi cinta, akhirnya menyedari bahawa semua pengorbanan itu sia-sia kerana diberikan kepada insan yang salah. 

Ia menjadi metafora tentang kehilangan jati diri, pengkhianatan terhadap diri sendiri, serta makna sebenar cinta yang tulus.

Single terbaharu Afgan ini sudah boleh didengarkan di semua platform penstriman digital bermula 10 Oktober 2025.

Manakala album penuhnya, Retrospektif, dijadualkan untuk dilancarkan pada bulan November 2025.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain

Bung Moktar meninggal dunia