KEADAAN kesihatan penyanyi Amad dilaporkan baik selepas kejadian dia kelihatan lemah ketika di pentas Grand Finale Talk To My Manager (TTMM) pada malam Ahad.
Berkongsi berita itu, bapa tiri kepada Amad yang dikenali sebagai Idan bagaimanapun memilih untuk tidak mengulas lanjut apabila ditanya tentang rawatan susulan yang perlu dilakukan.
"Apa yang boleh saya komen tentang Amad hanyalah Alhamdulillah sahaja," ujarnya ringkas ketika dihubungi mStar pada Isnin.

Amad ketika berduet dengan Nadeera.
Idan juga meminta agar penyanyi itu diberi ruang dan tidak bertanya lanjut tentang kejadian yang berlaku.
Malah, sakit sebenar yang dialami oleh Amad juga tidak didedahkan.
Dia juga sempat mengucapkan tahniah kepada barisan peserta lain yang turut bertanding dalam program berkenaan.
"Saya juga nak ucapkan tahniah buat semua peserta Grand Finale TTMM," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Amad tidak dapat dihubungi, bapa bimbang tahap kesihatan anak
ARTIKEL BERKAITAN: Amad rebah atas pentas TTMM, satu dewan cemas
Dalam kejadian yang berlaku pada malam Ahad, Amad kelihatan tidak bermaya sewaktu berdiri untuk bersedia membuat persembahan.
Keadaan dalam dewan menjadi cemas apabila pihak produksi naik ke atas pentas dan kemudian mendukung Amad ke belakang.
Beberapa minit kemudian, Amad kembali tampil membuat persembahan termasuk nyanyian duet bersama Nadeera dengan lagu Bukan Lagi Kita.
Pada penghujung acara, nama Amad diumumkan hanya menduduki tempat terakhir.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


