BAPA kepada penyanyi Amad iaitu Saiful Anuar berasa bimbang selepas mendapat berita anaknya itu rebah secara tiba-tiba ketika membuat persembahan di program Grand Finale Talk To My Manager (TTMM) yang berlangsung pada malam Ahad.
Saiful berkata, dia dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh kenalan dan amat terkejut apabila mendapat tahu tentang hal tersebut.
Malah cubaan Saiful untuk menghubungi Amad juga masih belum berhasil apabila mesej yang dihantar tidak mendapat sebarang maklum balas.

Saiful belum dapat maklum balas kesihatan Amad.
"Saya terkejut bila dapat tahu dia rebah, tapi tak boleh nak beri reaksi sebab saya berada di Kuantan.
"Ada cuba hubungi Amad namun sehingga kini belum dapat respon, tidak mengapa mungkin dia sedang berehat.
"Saya cuma berharap dia berada dalam keadaan baik-baik sahaja sekarang," katanya ketika dihubungi mStar pada Isnin.
Dalam pada itu, Saiful tidak menolak kemungkinan kejadian tersebut berpunca daripada gangguan mistik seperti yang didakwa segelintir pihak di media sosial.
ARTIKEL BERKAITAN: Amad rebah atas pentas TTMM, satu dewan cemas
ARTIKEL BERKAITAN: [V] Shuib dapat panggilan minta nombor ustaz, sedih lihat keadaan Amad belakang pentas... Tidak menolak berlaku gangguan mistik
"Fasal komen kata ada gangguan mistik itu saya tak menolak sebab perkara begitu tak boleh jangka.
"Kadang-kadang ia boleh jadi sebab penyakit ain, nama dia pula semakin meningkat naik.
"Tapi dari awal saya dah beri nasihat jangan lupa solat, doa atau mandi air garam sebagai pendinding," ujarnya.
Ditanya mengenai kehadirannya pada acara tersebut, Saiful meluahkan rasa terkilan kerana tidak berpeluang menyaksikan persembahan anaknya secara langsung.

Amad dilihat tidak bermaya di pentas akhir TTMM.
"Jujurnya saya memang terkilan tak dapat lihat anak beraksi malam tadi (Ahad), sebab saya tak dapat tiket.
"Sebagai bapa tidak mungkin saya tak nak pergi majlis besar anak saya. Tapi apa boleh buat? Saya memang tidak dapat tiket untuk pergi ke sana," jelasnya.
Ketika di pentas akhir TTMM Amad kelihatan lemah sebelum memulakan persembahan menyanyikan lagu Cinta Kerana Cinta dan kemudian di bawa keluar oleh produksi.
Bagaimanapun, Amad tetap meneruskan persembahannya sehingga ke akhir, termasuk berduet bersama penyanyi Nadeera untuk lagu Bukan Lagi Kita.
Amad kemudiannya diumumkan sebagai pemenang tempat keenam dalam program tersebut.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


