suria

[V] Shuib dapat panggilan minta nombor ustaz, sedih lihat keadaan Amad belakang pentas... Tidak menolak berlaku gangguan mistik

PELAWAK dan usahawan, Shuib Sepahtu meluahkan rasa simpati terhadap penyanyi remaja, Amad, yang rebah sebelum selesai membuat persembahan dalam Grand Finale Talk To My Manager (TTMM) yang berlangsung pada malam Ahad.

Menurut Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhammad, 41, dia menerima panggilan kecemasan daripada bapa tiri Amad semasa siaran langsung yang bertanyakan mengenai seorang pengamal perubatan Islam yang dikenalinya.

"Sewaktu Auddra buat persembahan tiba-tiba Idan (panggilan bapa tiri Amad) hubungi saya ketika itu masih siaran langsung. Dia tanya fasal kawan saya yang Ustaz dan beritahu keadaan Amad tidak baik.

Shuib dan Thalita sememangnya rapat dengan keluarga Amad.

"Saya terkejut dan bila beritahu Saerah dia terus cemas. Jadi bila Auddra habis buat persembahan saya terus ke belakang dan lihat keadaan Amad memang saya sedih dan bersimpati," katanya kepada mStar.

Shuib berkongsi perkara itu sebaik sahaja selesai program TTMM yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Jelas Shuib lagi, sebaik sahaja Amad selesai membuat persembahan, dia sekali lagi menjenguk penyanyi itu di belakang pentas dan menyifatkan keadaannya ketika itu agak merisaukan.

ARTIKEL BERKAITAN: Amad rebah atas pentas TTMM, satu dewan cemas

ARTIKEL BERKAITAN: Marsya juara TTMM, Liza Hanim sebak tumpang rezeki anak

Malah ketika itu pihak Amad juga sudah menerima bantuan daripada pasukan perubatan dan disahkan kesihatannya dalam keadaan baik.

"Bila habis persembahan saya dan Saerah pergi ke belakang pentas lihat keadaan dia, memang kesian. Kasut dan baju dia sudah dibuka untuk beri ruang bernafas.

"Pasukan perubatan pun ada ketika itu dan bila diperiksa semuanya dalam keadaan baik saja," luahnya.

Tapi saya tidak terkejut sangat dengan tempat ini.

SHUIB

PELAWAK

Dalam pada itu, Shuib berkata dia tidak terkejut sekiranya kejadian yang menimpa Amad itu ada kaitan dengan gangguan mistik memandangkan dirinya sendiri pernah berdepan situasi serupa ketika arwah isterinya, Siti Sarah, bertanding di pentas sama menerusi program Gegar Vaganza (GV).

Pun begitu, dia percaya setiap kejadian yang berlaku ada hikmahnya dan ia juga akan menjadi pelajaran buat orang ramai.

"Tapi saya tidak terkejut sangat dengan tempat ini sebab saya pun ada peristiwa mendukung Siti Sarah di sini. 

"Saya harap Amad tidak putus asa, rezeki dia murah sebab orang buat dia macam itu mesti ada hikmah," luahnya.

Amad terlihat menanggung sakit selepas selesai membuat persembahan.

Sementara itu, Thalita, 12, turut meluahkan rasa simpati terhadap Amad selepas melihat sendiri usaha gigih yang dicurahkan sepanjang sesi latihan sebelum malam finale itu berlangsung.

"Saya rasa kesian sangat dengan dia sebab tengok latihan dia sangat bagus, vokal dia mantap!

"Habis persembahan untuk tukar baju dia sempat cakap tahniah pada saya, dalam 20 minit tiba-tiba Uncle Idan tanya ustaz duduk mana dan minta nombor telefon," kongsinya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain