KEADAAN penyanyi Amad yang rebah sebelum membuat persembahan di pentas Grand Finale Talk To My Manager (TTMM) pada malam Ahad menimbulkan kebimbangan dalam kalangan peminat.
Mengulas mengenai kejadian itu, Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro, Raqim Ahmad memaklumkan pihaknya masih menyiasat punca sebenar insiden tersebut.
"Kejadian yang berlaku pada Amad itu diluar jangkaan dan kami masih siasat dan tidak tahu puncanya.

Raqim kongsi keadaan Amad.
"Yang jelas selepas habis konsert nampak dia sudah okay sikit dan mereka terus pulang. Saya sempat berjumpa dengan mereka sebentar," katanya kepada mStar.
Raqim berkongsi perkara tersebut sejurus selesai program TTMM yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
Menurut Raqim, pemeriksaan kesihatan yang dilakukan ke atas Amad mendapati penyanyi itu berada dalam keadaan baik dan tidak mengalami sebarang masalah.
ARTIKEL BERKAITAN: Amad rebah atas pentas TTMM, satu dewan cemas
ARTIKEL BERKAITAN: Marsya juara TTMM, Liza Hanim sebak tumpang rezeki anak
Pun begitu, dia tidak menolak sekiranya Amad berdepan sesuatu ketidakselesaan yang melampau sebelum persembahan sehingga menjejaskan keadaanya ketika itu.
"Kami sudah buat pemeriksaan dengan pihak perubatan, tekanan darah dan tiada masalah kesihatan. Itu yang disahkan oleh pihak perubatan sendiri.
"Cuma sebelum dia buat persembahan mungkin mengalami ketidakselesaan sebab sebelum ini dia memang tidak demam atau sakit.
"Mungkin perkara itu berlaku secara tiba-tiba sebelum persembahan," katanya lagi.
Amad rebah sebelum persembahan.
Tambahnya, keputusan untuk Amad tetap membuat persembahan meskipun kurang sihat dibuat atas persetujuan pengurus dan penyanyi itu sendiri tanpa sebarang paksaan daripada pihak produksi.
Tegasnya, pihak produksi sentiasa mengutamakan kesihatan dan keselamatan peserta dan pengurusnya sepanjang program itu berlangsung.
"Kami berbincang dengan pihak mereka sama ada mahu teruskan atau tidak. Kami juga menghormati keputusan mereka dan seperti yang dilihat kami juga terpaksa memberi iklan kerana mahu pastikan keadaannya.
"Kami sentiasa utamakan keselamatan dan kesihatan namun semuanya terpulang pada mereka. Tapi dari segi persembahan seperti dilihat di atas pentas," luahnya.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


