suria

Siti Nurhaliza kongsi video 'rehearsal' Amad, yakin penat bukan punca rebah atas pentas... "Ada perkara yang tidak diduga dan kadang-kadang tak masuk akal"

Siti dedah Amad rebah bukan atas faktor penat.

BIDUANITA Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, menjelaskan insiden Amad rebah ketika peringkat akhir program Talk To My Manager bukanlah disebabkan faktor kepenatan.

Siti atau Siti Nurhaliza Tarudin, 46, berkongsi video sesi latihan Amad bersama penyanyi Nadeera yang berjalan dengan lancar, dan menegaskan anak saudaranya itu berada dalam keadaan baik serta sihat untuk membuat persembahan.

Namun begitu, Siti percaya sesuatu yang lain telah berlaku yang menyebabkan anak saudaranya itu tiba-tiba rebah.

Amad tetap membuat persembahan di peringkat akhir TTMM.

“Sebagai ahli keluarga, kami mengetahui apa yang sebenarnya berlaku. Ia bukan disebabkan faktor kesihatan, kesan daripada komen-komen negatif mahupun keletihan.

"Sebagai manusia biasa, kami percaya dalam kehidupan ini ada perkara yang tidak diduga dan kadang-kadang tidak masuk akal, namun itulah hakikatnya,” katanya.

Siti berkongsi perkara itu menerusi hantaran berserta video di Instagram miliknya pada Isnin.

Penyanyi itu turut menegaskan sesiapa yang berada di lokasi pada hari tersebut pasti memahami apa yang terjadi. 

ARTIKEL BERKAITAN: Amad tidak dapat dihubungi, bapa bimbang tahap kesihatan anak

ARTIKEL BERKAITAN: Amad rebah atas pentas TTMM, satu dewan cemas

Demi keadilan kepada Amad, Siti berharap agar tidak timbul pelbagai persepsi negatif kerana hanya mereka yang menyaksikan kejadian itu sahaja yang benar-benar mengetahui situasi sebenar.

"Bagi sesiapa yang berada di lokasi semalam, pasti tahu apa yang berlaku, untuk bersikap adil kepada Amad, janganlah ada pelbagai persepsi kerana mereka yang melihat kejadian sahaja yang tahu.

“Begitulah, setiap kita ada cabaran, apatah lagi dalam bidang seni yang penuh dengan liku. Segalanya terbuka luas," jelasnya.

Malah Siti juga mendedahkan bukan hanya Amad yang terkesan dengan kejadian tersebut, malah adiknya iaitu Aisy, turut menerima tempias.

Amad rebah sebelum buat persembahan.

Sementara itu, Siti mengajak orang ramai untuk mendoakan agar mereka sekeluarga sentiasa dilindungi, selain Amad diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi ujian ini.

“Doakan agar kita semua sentiasa dalam lindungan-Nya. Doakan juga Amad,” ujarnya.

Untuk rekod, pada malam kejadian Amad dijadualkan menyanyikan lagu Cinta Kerana Cinta nyanyian asal Judika, namun rebah sebelum sempat memulakan persembahan.

Bagaimanapun, Amad tetap meneruskan persembahannya sehingga ke akhir, termasuk berduet bersama Nadeera untuk lagu Bukan Lagi Kita.

Amad kemudiannya diumumkan sebagai pemenang tempat keenam dalam program tersebut.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain