suria

Penagih tikam anak hingga mati, risau fikir masa depannya bercinta dengan tokan dadah

Suspek mengaku membunuh anaknya kerana berasa bimbang. -Foto Thaiger

SEORANG wanita berusia 36 tahun ditemukan maut di dalam bilik air, dipercayai ditikam ibu kandungnya selepas berlaku pertengkaran berkaitan hubungan mangsa dengan teman lelaki.

Dia dikatakan bertindak sedemikian kerana kekasih anaknya didakwa terlibat dengan kegiatan dadah.

Kejadian dilaporkan berlaku di daerah Nong Saeng, Thailand kira-kira pukul 11.30 pagi Khamis.

Menurut polis, pihaknya menemui mayat mangsa yang ditutup tuala berwarna merah jambu di bilik air bawah rumah dua tingkat itu. 

Sebilah pisau dapur bermata tajam ditemui di luar bilik air dan dirampas sebagai bukti.

Ibu mangsa yang berusia 52 tahun turut ditahan selepas mengaku menikam anaknya disebabkan pengaruh alkohol pada masa kejadian.

Ujian saringan awal turut mendapati suspek positif dadah jenis syabu.

Tambah polis, hasil siasatan awal mendapati mangsa tinggal bersama ibunya dan kedua-duanya merupakan balu. 

Suspek mendakwa anaknya pernah bergelut dengan ketagihan syabu dan dia pernah membuat laporan polis sebagai usaha menghentikan perbuatan tersebut.

Ketegangan semakin memuncak apabila mangsa menjalin hubungan baharu dengan seorang lelaki yang turut mempunyai rekod berkaitan dadah.

Suspek yang bimbang masa depan anaknya musnah, memaksa mangsa memutuskan hubungan. 

Namun malangnya mangsa enggan menurut permintaan tersebut.

Susulan itu, pertengkaran yang berlaku pada hari kejadian mendorong suspek membawa pisau dapur ke dalam bilik air dan menikam anaknya.

Suspek bagaimanapun menyesali perbuatannya dan berkata dia hanya inginkan yang terbaik untuk anaknya.

Suspek kini berdepan pertuduhan membunuh dan penyalahgunaan dadah. -Agensi

Artikel Lain