suria

Indah bercahaya! Imej dari angkasa papar Kaabah bersinar terang dari jarak 400km

Kaabah jelas kelihatan bersinar-sinar dari angkasa. -Foto X @astro_Pettit

SATU imej menakjubkan yang dirakam dari orbit mencuri tumpuan di media sosial apabila menunjukkan Kaabah, kiblat bagi orang Islam yang terletak di Masjidil Haram, Makkah, bersinar-sinar meskipun dari ketinggian 400 kilometer di atas Bumi.

Imej tersebut yang dirakam dari Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS), dikongsi oleh Angkasawan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA), Don Pettit, yang baru pulang daripada misinya di ISS

Pettit berkongsi gambar tersebut di platform X dengan kapsyen bertulis, "Pemandangan orbit Makkah, Arab Saudi. Titik terang di tengah ialah Kaabah, tapak paling suci umat Islam, kelihatan walaupun dari angkasa".

Pettit, yang terkenal dengan fotografi angkasa artistik sepanjang misi ISS keempatnya dari September 2024 hingga April 2025, merakam imej itu melalui tingkap kubah stesen menggunakan kamera Nikon beresolusi tinggi.

Gambar berkenaan memaparkan kawasan bandar Makkah yang terletak di lembah berbukit, dengan Masjidil Haram mendominasi keseluruhan pemandangan. 

Kaabah, struktur berbentuk kubus yang dilitupi kain kiswah hitam, kelihatan menonjol hasil pencahayaan limpah yang terang dan berterusan, memantulkan cahaya sehingga dapat dikesan dari orbit.

Pencahayaan 24 jam di Masjidil Haram bagi keperluan solat dan ibadah, ditambah dengan kelajuan ISS yang mencecah 28,000 km/j, membolehkan momen singkat itu dirakam ketika stesen melintasi Semenanjung Arab.

Kepakaran Pettit dalam teknik pendedahan jarak jauh turut membantu menstabilkan gambar walaupun ISS bergerak pantas, membolehkan perincian halus seperti rangkaian jalan dan terowong kelihatan jelas.

Pettit, yang sering berkongsi imej aurora, bandar dan fenomena kosmik, terus menggunakan lensanya untuk mengetengahkan keindahan Bumi.

Gambar terbaharunya ini sekali lagi mencerminkan bagaimana mercu tanda rohani manusia tetap bersinar di bawah langit. -Agensi

Artikel Lain