suria

Julung kali adakan Hari ESG, Kumpulan AmBank perkasa komitmen pembangunan mampan... ikrar tanam 780 pokok kapur

Simbolik sesi penanaman pokok di Taman Eko-Rimba Bukit Sungai Puteh di Cheras.

SYARIKAT dan badan korporat di Malaysia semakin menyedari kepentingan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam aktiviti perniagaan untuk terus kekal kompetitif.

ESG ternyata memberi pulangan jangka panjang dan mewujudkan perniagaan baharu termasuk memanfaatkan banyak pihak terutama rakan niaga dan pelabur.

Sejajar kepentingannya dalam pasaran dan industri, Kumpulan AmBank memperkukuhkan pendekatan berteraskan amalan itu menerusi pelaksanaan Hari ESG.

Buat julung kali diadakan pada 12 Januari lalu, Kumpulan AmBank meneruskan sebahagian daripada komitmennya dengan melibatkan pelanggan dan pelabur menerusi inisiatif ESG.

Hari ESG yang dilaksanakan secara maya itu menyaksikan wujudnya platform untuk menghimpunkan perspektif dan pandangan bagi membantu menaikkan tema utama dalam peralihan kepada masa depan kewangan yang lebih mampan.

Kumpulan AmBank begitu komited kepada matlamatnya dalam menyepadukan kemampanan dalam operasi perniagaan.

Bertemakan 'Forward Thinkers: Journeys That Converge', Hari ESG adalah sebahagian daripada pelan tindakan kumpulan itu dalam menyampaikan ‘road map’ kemampanan kepada pihak berkepentingan dan mengesahkan semula komitmen mereka.

Photo 2 - ESG

Program yang dilaksanakan Kumpulan AmBank itu terdiri daripada dua komponen, iaitu sesi pagi untuk pelanggan-pelanggan, manakala sesi bersama pelabur pula di sebelah petang.

Melakar sejarah, Hari ESG yang julung diadakan ini dirasmikan oleh Pengerusi Kumpulan AmBank, Tan Sri Azman Hashim, yang juga tokoh yang mencorakkan perkembangan landskap sektor kewangan.

Azman berkata, komitmen terhadap pertumbuhan mampan yang menggabungkan kedua-dua pertimbangan kewangan dan ESG menjadi teras strategi Kumpulan AmBank, seiring langkah syarikat membina nilai jangka panjang untuk organisasi dan pemegang kepentingannya.

Hari ESG menjadi tumpuan dengan sesi melibatkan tokoh-tokoh berwibawa dan disegani iaitu Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Jessica Chew Cheng Lian; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AmBank, Datuk Sulaiman Mohd Tahir dan Ketua Kelestarian kumpulan, Datin Zameema Ariff.

Selain itu, sesi tersebut turut menyaksikan penyertaan Pengarah Moody's Analytics EMEA, Dr Dimitrios Papanastasiou; Ketua Pegawai Kelestarian Petronas, Charlotte Wolf-Bye dan Pengarah Serantau CDP, John Leong.

Photo 3

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Hijau Malaysia, Amin Abdullah (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif AmBank Islamic, Eqhwan Mokhzanee pada majlis pengumuman kerjasama antara Kumpulan AmBank dan Yayasan Hijau Malaysia.

Sementara itu, Benjamin McCarron dari Asia Research and Engagement Pte. Ltd (ARE) diberi tanggungjawab sebagai moderator untuk mengendalikan sesi berkenaan.

Kata Sulaiman, strategi dan visi jangka panjang Kumpulan AmBank disokong oleh komitmennya untuk menyumbang kepada kebaikan yang lebih besar buat rakyat dan dunia menerusi amalan perbankan dan perniagaan yang bertanggungjawab.

"Komitmen ini dicerminkan dalam Agenda Kelestarian kami, di mana kami secara aktif mempertimbangkan risiko dan impak ESG bagi mewujudkan kemakmuran bersama untuk generasi semasa dan akan datang tanpa menjejaskan objektif kewangan kami," katanya.

Semasa sesi perkongsian pada sebelah pagi bersama pelanggan AmBank, ia menyentuh perkara asas, membincangkan mengenai cabaran dan peluang serta menunjukkan beberapa pelanggan yang menyerlahkan kemampanan dengan cara mereka sendiri.

Sesi pagi dimulakan oleh Nik Shahrizal Sulaiman yang merupakan rakan kongsi dan peneraju kewangan Islam PwC Malaysia, membentangkan asas dan laluan Sifar Bersih untuk Malaysia.

Ia diikuti Pengarah Ekonomi dan Polisi SME Corporation Malaysia, Kausalya Gopal yang mengetengahkan mengenai penerokaan peluang dan cabaran untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Seterusnya perkongsian oleh Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan PKT Logistics Group Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Michael Tio mengenai perjalanannya ke arah kemampanan dan cara beliau membina organisasi masa depan.

Sesi tersebut diakhiri dengan kisah Vincent Tang dari JB Cocoa Sdn Bhd, yang menceritakan kisah perjalanan kemampanan mereka yang memberi inspirasi.

Sempena Hari ESG secara maya, Kumpulan AmBank turut membuat pengumuman khas mengenai kerjasama kumpulan itu dengan Yayasan Hijau Malaysia (YHM).

YHM merupakan agensi di bawah Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) yang menganjurkan Kempen Penanaman 100 Juta Pokok bermula dari 2021 hingga 2025, menerusi Program Penghijauan Malaysia.

Photo 5

Kumpulan AmBank berikrar untuk menanam sebanyak 780 pokok kapur atau camphor, yang merupakan sebahagian daripada kerjasama dengan Yayasan Hijau Malaysia.

Ia merupakan inisiatif KeTSA dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), jabatan hutan negeri dan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) serta kerajaan negeri.

Inisiatif tersebut bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan kawasan hutan dan memastikan komitmen bagi mengekalkan kawasan hutan di Malaysia.

Menjadi sebahagian daripada pelaksanaan inisiatif itu, Kumpulan AmBank berikrar untuk menanam sebanyak 780 pokok kapur atau camphor.

Simbolik sesi penanaman pokok disertai oleh pengurusan kanan Kumpulan AmBank dan YHM di Taman Eko-Rimba Bukit Sungai Puteh di Cheras, ibu negara pada 8 Januari lalu.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain