suria

Belanjawan 2021: Keusahawanan, PKS berpotensi rancakkan ekonomi negara

Belanjawan 2021 memperkasakan usahawan dan PKS ke peringkat lebih tinggi.

PERUSAHAAN Kecil dan Sederhana (PKS) memainkan peranan penting sebagai tulang belakang dan majikan terbesar di negara ini.

Oleh itu, pentingnya ia bukan sahaja membantu bisnes lebih kecil yang terjejas akibat krisis Covid-19, bahkan mendorong lebih banyak usahawan untuk memacu ekonomi.

Rasional ini dicerminkan dalam salah satu daripada fokus utama Belanjawan 2021 yang meliputi pembangunan perniagaan dan inisiatif berkaitan keusahawanan.

Beberapa inisiatif dibangunkan berdasarkan asas program sedia ada untuk menggalakkan keusahawanan dalam kalangan rakyat Malaysia, seperti peruntukan sebanyak RM510 juta kepada Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (Tekun) Nasional, Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) untuk membiayai usahawan Bumiputera dan PKS mikro.

Ia turut merangkumi peruntukan RM20 juta untuk Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India (SPUMI) dan RM5 juta untuk pembangunan usahawan bagi komuniti lain.

Peruntukan RM510 juta itu adalah sebahagian daripada peruntukan RM4.6 bilion untuk memperkasa usahawan Bumiputera, termasuk RM2 bilion dalam bantuan pembiayaan kepada PKS Bumiputera menerusi Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP).

Selain, ia turut melibatkan peruntukan RM1.3 bilion untuk pelbagai program peningkatan kapasiti, termasuk pembangunan profesional, Dana Kemakmuran Bumiputera serta program atau projek khusus untuk Bumiputera, serta RM800 juta melalui program peningkatan keupayaan oleh Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) dan SME Bank.

Seterusnya adalah peruntukan RM50 juta yang disediakan kepada Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) bagi menyokong aktiviti pembiayaan Islam melalui Ar-Rahnu BizNita, kemudahan pembiayaan Lestari Bumi RM300 juta untuk menggalakkan perniagaan berstatus mikro dan kecil Bumiputera beranjak ke kategori lebih tinggi.

Peruntukan itu juga termasuk Geran Khas Prihatin Tambahan RM1,000 akan diberi kepada peniaga dan penjaja di Sabah. Geran khas tersebut turut dinikmati oleh pemandu teksi, e-hailing, kereta sewa dan pemandu pelancong di Sabah.

Pembiayaan kredit mikro bernilai hampir RM1.2 bilion turut disediakan menerusi Tekun, PUNB, Agrobank, BSN dan institusi kewangan lain, termasuk tambahan RM110 juta kepada Micro Enterprises Facility di bawah Bank Negara Malaysia (BNM) bagi menggalakkan aktiviti keusahawanan dalam kalangan pekerja gig dan yang bekerja sendiri serta menyokong pelaksanaan program iTekad.

Sementara itu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, kerajaan menghargai sumbangan wanita dalam pembangunan negara.

“Program bimbingan terutama dalam aspek pembungkusan dan pelabelan, strategi pemasaran serta bimbingan teknikal perniagaan juga akan diberikan kepada lebih 2,000 usahawan wanita melalui Program Pembangunan Perniagaan Usahawan Mikro atau BizMe, ” kata beliau mengenai inisiati tambahan itu.



Pelbagai program bimbingan untuk memantapkan keusahawanan.

Belanjawan 2021 turut memperuntukkan RM20 juta untuk program pembangunan perusahaan di bawah Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) serta agensi terpilih.

Di samping itu, turut disediakan adalah projek perintis pendaftaran e-Perolehan untuk perusahaan sosial yang mempunyai Sijil Program e-Perolehan Impak Kerajaan daripada MaGIC dan agensi-agensi terpilih lain untuk menjadi pembekal kepada kerajaan.

Bantu PKS

Menyedari kepentingan PKS terhadap ekonomi negara dan kesan drastik pandemik Covid-19 terhadap perniagaan yang lebih kecil, kerajaan telah menggandakan inisiatifnya untuk membantu golongan itu, susulan bantuan kewangan dan sokongan lain yang diberikan melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin), Prihatin Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Tambahan dan pakej Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana).

Daripada pakej tersebut, peruntukan RM1.9 bilion untuk pembiayaan dan geran disediakan untuk membantu PKS dan usahawan PKS mikro yang sukar mendapatkan pembiayaan.

Selain itu, bagi membantu mengurangkan beban aliran tunai syarikat yang terjejas akibat pandemik Covid-19, pengecualian levi tabung inisiatif Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF), yang diberikan selama enam bulan berkuat kuasa 1 Januari 2021.

Pengecualian tersebut turut meliputi sektor pelancongan dan syarikat-syarikat yang terjejas dengan krisis Covid-19.

Menerusi Belanjawan 2021, peruntukan RM2 bilion disediakan untuk kemudahan Bantuan dan Pemulihan Bersasar di bawah BNM yang diperkenalkan melalui pinjaman daripada institusi perbankan, di samping Platform Kewangan Rantaian Bekalan Nasional (Jana Niaga) yang diperkenalkan untuk memanfaatkan PKS yang membuat pembekalan kepada kerajaan atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Dari segi bantuan lain untuk meningkatkan kapasiti PKS, sebanyak RM150 juta diperuntukkan bagi program latihan dan bantuan penjualan serta peralatan digital kepada 100,000 usahawan tempatan untuk beralih kepada khidmat digital di bawah Kempen e-Dagang PKS dan PKS Mikro.

Kerajaan turut memperuntukkan tambahan RM150 juta di bawah Skim Geran Pendigitalan SME dan Geran Automasi, dengan syarat kelayakan geran dilonggarkan kepada PKS mikro dan syarikat pemula yang telah beroperasi selama enam bulan.

Selain itu, sebanyak RM230 juta untuk ditawarkan sebagai pembiayaan kepada PKS bagi tujuan perbelanjaan modal kerja, peningkatan sistem automasi dan peralatan serta perbelanjaan berkaitan pelaksanaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19, di samping RM1 bilion untuk Skim Transformasi Pendigitalan Industri melalui BPMB yang dilanjutkan sehingga 31 Disember 2023.

Bagi merancakkan lebih banyak aktiviti dalam pembiayaan PKS, melalui kaedah pembiayaan alternatif seperti pembiayaan platform pendanaan ekuiti ramai (ECF) dan pembiayaan antara rakan setara (P2P), geran padanan RM50 juta untuk P2P di bawah seliaan Suruhanjaya Sekuriti (SC).

Sementara itu, pengecualian cukai pendapatan 50 peratus daripada jumlah pelaburan (terhad kepada RM50,000) akan diberikan kepada pelabur individu bagi menggalakkan mereka untuk mengambil bahagian dalam lebih banyak pembiayaan melalui platform ECF, dengan geran padanan RM30 juta diperuntukkan di platform tersebut di bawah seliaan SC.



Manfaatkan usahawan, PKS.

Mudahkan perniagaan, perdagangan

Di samping pelbagai inisiatif yang memanfaatkan usahawan dan PKS, Belanjawan 2021 turut memberi penekanan kepada pengembangan keseluruhan perniagaan untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi.

Sejumlah RM25 juta diperuntukkan bagi program Pembangunan Francais Mikro dan Francais Mampu Milik serta Beli Barangan Buatan Malaysia, manakala RM35 juta untuk mempromosi barangan dan perkhidmatan keluaran Malaysia di bawah Misi Perdagangan dan Pelaburan.

Dengan peningkatan tingkah laku pengguna dari pembelian luar talian kepada pembelian dalam talian dan untuk memudahkan membeli-belah ketika pandemik Covid-19, kerajaan juga memperuntukkan RM150 juta untuk melaksanakan inisiatif Perbelanjaan Malaysia Dalam Talian (Shop Malaysia Online) melalui usaha sama dengan platform e-dagang utama bagi menggalakkan perbelanjaan secara dalam talian, yang akan memanfaatkan 500,000 usahawan tempatan, pengusaha produk halal dan kraf tangan.

Jaminan bernilai RM3 bilion di bawah Skim Jaminan Prihatin Danajamin turut dilanjutkan sehingga tahun 2021 bagi syarikat korporat yang terbabit dalam industri berkemahiran tinggi seperti minyak dan gas serta aeroangkasa.

Malahan, Skim Pembangunan Maritim dan Logistik, Skim Pembiayaan Pembangunan Mampan, Skim Infrastruktur Pelancongan serta Dana Pengangkutan Awam, akan dilanjutkan sehingga 31 Disember 2023, dengan dana RM3.7 bilion.

“Sebanyak RM500 juta daripada skim ini akan diperuntukkan untuk usahawan Bumiputera bagi meningkatkan penglibatan mereka dalam sektor utama, ” tambah Tengku Zafrul.

*Artikel ini merupakan bahagian ketiga dalam tujuh siri liputan mengenai Belanjawan 2021.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain