suria

Jenazah Tun Rahah selamat disemadikan

Jenazah Allahyarhamah Tun Rahah tiba di Masjid Negara bagi urusan solat jenazah. -foto FAIHAN GHANI/The Star

ISTIADAT Pengebumian Negara bagi Allahyarhamah Tun Rahah Mohamed Noah selamat disempurnakan, petang Sabtu.

Jenazah balu kepada Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein selamat disemadikan dan diberi penghormatan Istiadat Pengebumian Negara di Lingkaran Makam Pahlawan, Masjid Negara di Kuala Lumpur, kira-kira pukul 3.15 petang Sabtu.

Jenazah Tun Rahah, 87, disemadikan bersebelahan pusara kakaknya, Tun Suhailah yang juga ibu kepada Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang meninggal dunia pada 4 Oktober 2014.

ARTIKEL BERKAITAN: Tun Rahah diberi penghormatan Istiadat Pengebumian Negara - PM

ARTIKEL BERKAITAN: "Bonda saya sudah tiada" - Ibu Najib, Tun Rahah meninggal dunia pada usia 87 tahun

Solat jenazah, tahlil serta bacaan talkin dipimpin Imam Besar Masjid Negara, Ehsan Mohd Husni.

Allahyarhamah merupakan ibu kepada Perdana Menteri keenam, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan anakanda Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah bersama-sama ahli keluarga Allahyarhamah turut menyaksikan perjalanan terakhir Tun Rahah.

Hadir sama, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta barisan pemimpin kerajaan yang lain.

Terdahulu, jenazah Allahyarhamah Tun Rahah dibawa dari Masjid Ar-Rahah, Kampung Kerinchi, Kuala Lumpur dan tiba di Masjid Negara pada pukul 2.15 petang.

Konvoi turut yang disertai 32 kenderaan ahli keluarga terdekat termasuk Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Pada sebelah pagi, jenazah Allahyarhamah Tun Rahah dibawa dari kediamannya ke Masjid Ar-Rahah untuk dimandikan dan dikafankan oleh petugas Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sebelum orang ramai dibenarkan memberikan penghormatan terakhir bermula pukul 9‬ pagi. - Sinar Harian

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain