Kuala Lumpur menjelang 20 tahun akan datang - Semasa | mStar

Kuala Lumpur menjelang 20 tahun akan datang

SOFIAN Abdullah, 30 dan isterinya, Mona Sulaiman, 28, baru sahaja berkahwin dan mula merancang untuk membina keluarga.

Masing-masing bekerja di Kuala Lumpur, pasangan itu sedang mencari hartanah yang bukan sahaja mampu milik, malah terletak tidak terlalu jauh daripada tempat kerja serta mempunyai kemudahan untuk membesarkan anak mereka nanti.

Pasangan itu berhasrat membeli sebuah pangasapuri dalam satu kawasan pembangunan baharu di Cheras yang dijangka siap pada 2023.

Kejiranan di situ menjadi kegusaran mereka, biarpun ia kelihatan ideal pada masa ini, ia mungkin akan menjadi terlalu padat pada masa akan datang.

Mereka mahu memastikan fasiliti terkini seperti taman permainan dan padang bola masih lagi dalam keadaan baik dalam tempoh 10 tahun akan datang untuk anak mereka, pasar basah yang boleh dikunjungi dengan berjalan kaki dari rumah dan tidak akan diganti dengan pembinaan komersial, selain trafik juga tidak teruk.

Ini merupakan kebimbangan sebenar kebanyakan orang yang tinggal di Kuala Lumpur dan mencari informasi tepat mengenai masa depan kediaman dan kota mereka.

Atas dasar itu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) meminta penduduk agar terlibat secara aktif dalam sesi pertemuan pada tahun depan untuk memberi maklum balas apabila pihak berkuasa tempatan mula membuat perancangan untuk Pelan Pembangunan KL2040 (KL2040MP).

KL2040MP akan menyatakan bagaimana Kuala Lumpur akan kelihatan pada tahun 2040.

KL2040MP, bermula 2020 hingga 2040 berhasrat memacu Kuala Lumpur sebagai bandar mampan dan mampu didiami.

"KL2040MP merupakan pelan stratergik dalam memetakan perkembangan kota itu untuk jangka masa panjang dan jika diikuti dengan tepat, ia akan berkembang dengan mampan dan sistematik.

"Ia memberi panduan kepada perancang bandar mengenai penggunaan tanah secara mampan untuk menangani isu perbandaran berdasarkan keperluan terkini tanpa menjejaskan penduduk Kuala Lumpur pada masa akan datang.

"Jadi KL2040MP akan memaparkan bagaimana wajah Kuala Lumpur pada tahun 2040," ujar Penasihat Perancangan DBKL, Datuk Mahadi Che Ngah.

Daripada bergantung kepada risalah jualan atau pemaju, penduduk berpeluang membuat keputusan berdasarkan KL2040MP.

"DBKL akan bersedia untuk merangka pelan bandar baharu untuk tempoh dua dekad pada tahun depan.

"Ia akan tertumpu kepada perancangan bandar, nisbah pembangunan serta cara menyelesaikan kesesakan lalu lintas, pelepasan karbon dan perubahan iklim," ujarnya.

Menerusi KL2040MP, penduduk Kuala Lumpur seperti Sofian dan Mona boleh mendapatkan maklumat penting mengenai pembangunan kejiranan masa depan yang mereka rancang untuk didiami.

Datuk Mahadi Che Ngah.

Jelas Mahadi, tidak seperti Pelan Struktur KL yang bertumpu kepada dasar dan strategi, Pelan Tempatan KL lebih memperincikan dan menterjemahkan apa yang ada dalam pelan struktur secara mendalam.

Sebagai contoh, Bangsar South. Sekiranya pelan struktur itu berkata Bangsar South akan menjadi pusat pekerjaan terbaharu di bandar, pelan tempatan akan menunjukkan butiran seperti penggunaan tanah dan zon.

"Pelan itu akan menunjukkan sama ada sebidang tanah tertentu sesuai untuk kegunaan komersial atau bercampur, perindustrian, kediaman, ruang terbuka, institusi mahupun penggunaan khas.

"Ia akan memberi garis panduan, menunjukkan kepadatan dan penggunaan tanah sekaligus penduduk boleh membuat pelan apa yang dibenarkan atau tidak dibenarkan (dibina) di atas tanah tersebut serta berapa tinggi bangunan boleh dibina," katanya.

Penduduk bandar akan mempunyai idea apa yang dibolehkan wujud di kawasan kejiranan dan mereka bukan sahaja boleh merancang masa depan tetapi mengambil bahagian dalam memastikan tiada pelanggaran terhadap penggunaan tanah.

"Daripada rancangan itu, anda boleh mengetahui jika bengkel kereta dibenarkan beroperasi di kawasan anda atau jika tadika di belakang rumah anda dibenarkan berada di lokasi itu atau tidak," katanya lagi.

Kesilapan lalu juga boleh ditangani menerusi pelan yang akan datang.

Mahadi meyakinkan bahawa kesilapan lalu boleh diperbetulkan dan akan diperbaiki menerusi pelan rancangan baharu.

KL2040MP merupakan pelan stratergik dalam memetakan perkembangan kota itu dalam jangka masa panjang.

"Ia membuka kemungkinan untuk membuat zon baharu dan pembangunan semula kawasan usang serta menaik taraf infrastruktur di bandar dan dasar masa depan untuk mengawal pembangunan akan datang di sesuatu kawasan.

Jelas Mahadi, walaupun pelan itu mengandungi peruntukan terperinci berkenaan penggunaan tanah, ia bertujuan digunakan oleh semua pihak berkepentingan, tidak kira penduduk dan pemilik harta mahupun pemaju dan komuniti untuk penilaian semua aplikasi perancangan dan pembangunan di bandar.

Katanya, pelan itu juga menyumbang kepada pertumbuhan dan karakter Kuala Lumpur serta penambahbaikan persekitaran semula jadi dan bangunan, pengangkutan dan kemudahan awam.

"Pentadbiran partisipasi adalah apa yang mahu dicapai di sini, bagi mendapatkan orang ramai memberi maklum balas.

"Ini merupakan sebahagian daripada agenda bandar baharu yang kami terapkan dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang mana janji dibuat untuk memastikan tiada siapa yang ketinggalan.

"Jadi kami mahu semua orang dalam kalangan belia dan warga emas untuk menghadapi cabaran secara fizikal untuk mengkaji rancangan, melihat kawasan yang anda tinggal dan memberi maklum balas serta mengetengahkan kekurangan di kawasan kejiranan anda," kata Mahadi.

KL2040MP boleh menjadi lokasi untuk penduduk bandar, pemilik hartanah dan pemaju 
 mendapatkan maklumat penting mengenai pembangunan setempat.

Sementara itu, dalam Pelan Bandaraya Kuala Lumpur 2020 (KLCP2020) yang diwartakan pada Oktober 2018 dan akan diguna pakai sehingga 2020, DBKL telah menerima beberapa permohonan untuk meminda zon penggunaan dan penguasaan penggunaan tanah yang dibenarkan dari pemilik tanah dan pemaju.

Penglibatan orang ramai untuk hal ini akan dijalankan pada Oktober ini.

Maklum balas komuniti akan diperolehi menerusi perbincangan awam, kumpulan fokus dan sesi townhall untuk memastikan aspirasi semua boleh dicapai.

Orang ramai boleh menghantar e-mel kepada Klmycity2040@gmail.com atau menerusi laman Facebook "Pelan Pembangunan Kuala Lumpur 2040".

Klik

default image

Percutian travel tren janjikan servis 'awesome' dan 1,001 pengalaman menakjubkan!

TRAVEL serata dunia lebih pantas dengan menggunakan kapal terbang tetapi amat menyeronokan jika tren menjadi pilihan.

default image

Subsidi untuk rakyat hidup selesa, ketahui fakta penting mengenai inisiatif ini

KOS sara hidup semakin meningkat dan kerajaan prihatin untuk mengurangkan beban rakyat.

default image

Merangsang Korporat Malaysia, PNB rangka strategi bersama pemimpin korporat kukuhkan ekonomi negara

SEJAJAR usaha Malaysia untuk menjadi kuasa ekonomi, adalah tepat pada masanya bagi sektor korporat negara meninjau ke arah langkah-langkah perubahan.

default image

WKB 2030 sasar taraf hidup lebih baik untuk rakyat di seluruh negara

WKB2030 adalah pelan 10 tahun yang diperkenalkan kerajaan dalam memastikan Malaysia terus berkembang dengan mampan.

default image

Carum Perkeso untuk dilindungi walau bekerja sendiri kerana malang tidak berbau!

MATLAMAT utama mengumpul duit dan trip perjalanan, tapi adakah pemandu pengangkutan awam menyedari ‘malang tidak berbau’ ketika bekerja?

Artikel Lain