Utamakan bekas staf Utusan jika ada penerbitan baharu antara 5 tuntutan kepada pengurusan - Semasa | mStar

Utamakan bekas staf Utusan jika ada penerbitan baharu antara 5 tuntutan kepada pengurusan

Sidang media berkaitan kemelut yang menimpa Utusan turut dihadiri dari kiri Tan Sri Johan Jaaffar, Tan Sri Suleiman Mohamed, Tan Sri Khalid Yunos dan Rosle Azmi. Foto Star oleh Low Lay Phon.

PENGURUSAN baharu yang akan mengambil alih lesen penerbitan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad disaran mengutamakan 800 kakitangannya yang diberhentikan minggu lalu.

Kelab Veteran Utusan Melayu (Malaysia) (KVUM) dan bekas petugas akhbar itu mahu kesemua yang diberhentikan diserap ke syarikat berkenaan jika mahu memulakan penerbitan baharu.

Perkara itu antara lima tuntutan yang digariskan untuk pertimbangan pengurusan baharu nanti.

Wakil KVUM yang juga mantan wartawan Utusan Melayu, Tan Sri Khalid Yunos berkata, pihak yang terlibat dalam keputusan pemberhentian tersebut sepatutnya mengambilkira kepentingan dan dedikasi mereka kepada syarikat selama ini.

“Kita berdoa siapa saja yang ambil alih, saya percaya mereka akan terbitkan balik Utusan Melayu dan sudah tentu, kalau tanya saya secara peribadi, ambil semua 1,600 kakitangan yang terjejas iaitu 800 yang diberhentikan dan 800 yang telah ambil Skim Pemberhentian Secara Sukarela (VSS).

“Kalau tak ambil, cuba bayangkan... Bukan saja tentang masa depan pekerja tapi anak-anak mereka terutama yang masih bersekolah.

“Dari segi kemanusiaan, mereka patut pertimbangkan masa depan keluarga yang terlibat.. sekurang-kurangnya yang 800 kakitangan yang diberhentikan baru-baru ini,” katanya dalam sidang media di Ampang, pada Isnin.

Dalam sidang media itu juga, KVUM bersama bekas petugas sepakat menggariskan lima tuntutan seperti berikut:

1. Kementerian Sumber Manusia meneliti sama ada tindakan syarikat berbuat demikian mengikut lunas-lunas peruntukan Akta Pekerjaan atau sebarang akta berkaitan yang sedia ada, kerana khuatir ia akan menjadi kebiasaan bagi syarikat lain mencari jalan mudah bagi menyelesaikan masalah mereka.

2. Syarikat mengambilkira kebajikan petugas yang diberhentikan iaitu membayar gaji tertunggak selama ini, serta gaji sehingga tarikh akhir bekerja pada 31 Oktober 2019, selain menimbangkan pampasan lain yang difikirkan perlu. Syarikat juga perlu melunaskan semua bayaran tertunggak bagi mereka yang mengambil Skim Pemisahan Sukarela (VSS) sebelum ini.

3. Mempertimbangkan sebarang faedah perkhidmatan yang munasabah seperti tuntutan perjalanan dan perubatan termasuk bayaran ganjaran graduiti yang tidak dibayar sejak setahun lalu.

4. Syarikat Pelikuidasi Interim yang dilantik, UHY Advisory (KL) Sdn Bhd bertindak telus dengan membenarkan peguam bagi pihak petugas yang diwakili oleh Kesatuan Kebangsaan Wartawan Semenanjung Malaysia (NUJ) cawangan Utusan Melayu dan Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Akhbar (KKPA) cawangan Utusan Melayu memantau penjualan aset untuk tujuan membayar hutang. Ini bagi mengelakkan sebarang penyelewengan berlaku.

5. Syarikat baharu yang mengambilalih lesen penerbitan akhbar milik Utusan Melayu mengutamakan mantan wartawan Utusan sekiranya mahu memulakan penerbitan baharu.

Tambah Khalid, adalah sangat menghairankan apabila syarikat mengambil keputusan mendadak untuk  memberhentikan operasi perniagaan syarikat.

“Tindakan ini juga memperlihatkan  kegagalan pemilik yang mengambilalih syarikat ini untuk memperbaiki keadaan serta memberi nilai tambah pada Utusan Melayu.

“Apakah muslihat mengambil alih syarikat sekiranya dari awal mereka tahu mereka tidak dapat berbuat apa-apa untuk menyelamatkannya, malah memburukan lagi keadaan?

“Utusan Melayu ada harta di serata negeri. Saya tak tahu berapa hutang Utusan Melayu, tapi biasanya orang meniaga ni, mereka tak beri kita hutang kalau kita tak mampu bayar. Nilai aset kalau dicairkan melebihi hutang, mereka akan beri pinjaman. Kalau dinilai hutang dengan aset, takkanlah ini keputusannya untuk tutup akhbar ini,” katanya lagi. 

Utusan Melayu , VSS , Khalid Yunos

Klik

default image

Subsidi untuk rakyat hidup selesa, ketahui fakta penting mengenai inisiatif ini

KOS sara hidup semakin meningkat dan kerajaan prihatin untuk mengurangkan beban rakyat.

default image

Penggunaan air di Malaysia lebih tinggi daripada negara jiran? Jom kita jimat air!

ADAKAH penggunaan air kita setiap hari ke arah penjimatan atau pembaziran?

default image

Jom kongsi idea! Penduduk bandar diajak beri maklum balas draf Pelan Pembangunan KL

TRAJEKTORI perumahan dan komersial Kuala Lumpur diberikan perhatian dengan mendraf Pelan Pembangunan Kuala Lumpur 2040 (PPKL 2040).

default image

Jurang ekonomi penduduk bandar dan desa cabaran utama WKB 2030

JURANG ekonomi yang besar di antara kumpulan pendapatan, etnik serta kawasan luar bandar dan bandar antara cabaran besar yang dihadapi negara.

default image

Wawasan Kemakmuran Bersama 2030... ketahui suara dan harapan rakyat

RAKYAT menantikan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 yang dapat memberi manfaat kepada segenap lapisan masyarakat.

Artikel Lain