"Rasa bersalah sangat" - Individu komen ‘bomba tak cukup ilmu’ mohon maaf - Semasa | mStar

"Rasa bersalah sangat" - Individu komen ‘bomba tak cukup ilmu’ mohon maaf

PETALING JAYA: Seorang individu yang tidak sensitif dengan insiden yang meragut nyawa enam anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) apabila bertindak mengeluarkan kata-kata kurang sopan tampil membuat permohonan maaf.

Menerusi status yang dimuat naik di halaman Facebook pada petang Khamis, individu tersebut meminta maaf di atas tindakannya itu.

ARTIKEL BERKAITAN: "Memang terluka baca komen tu" - Individu pertikai 'bomba tak cukup ilmu' digesa mohon maaf

ARTIKEL BERKAITAN: 6 anggota bomba lemas ketika cuba selamatkan remaja di lombong

Penguasa Bomba Unit Agama Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat Putrajaya, Mohd Luqman Ramli mengimamkan solat jenazah enam anggota bomba di Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam Seksyen 15, Khamis. Foto Bernama

Menyedari kesalahan yang dilakukan itu menyinggung perasaan banyak pihak, dia turut meminta orang ramai berhenti mengecam dirinya dan keluarga.

“Saya meminta maaf atas kelakuan saya sebelum ni. Saya memohon kepada netizen semua agar berhenti mengecam kami sekeluarga.

“Saya sedar saya dah buat kesalahan besar sebegini. Semua berhak diberi peluang kedua,” katanya.

Tambah individu tersebut, dirinya berasa bersalah yang amat sangat kerana bersikap sedemikian dan akan berhati-hati dalam memberi komen selepas ini.

Permohonan maaf yang dibuat oleh individu berkenaan.

Ketika hampir seluruh rakyat Malaysia sedang bersedih dengan insiden melibatkan enam anggota bomba yang terkorban pada malam Rabu, wujud segelintir individu yang tergamak melemparkan kata-kata kurang enak di laman sosial berhubung tragedi itu. 

“Apalah bo**h sangat nak cari seorang, enam mati. Kalau tak cukup ilmu jangan jadi penyelamat,” komen individu berkenaan sehingga membangkitkan kemarahan ramai.

Selain itu, individu tersebut turut digesa tampil membuat permohonan maaf terutama kepada waris-waris dan keluarga enam anggota bomba yang terkorban.

Terdahulu, mStar Online melaporkan seorang anggota Bomba dari cawangan Sungai Petani, Kedah, tampil mempertahankan rakan seperjuangannya yang terpanggil dengan posting penghinaan itu.

"Komen lelaki itu memberi gambaran seperti anggota yang terkorban tidak berpengalaman. Memang terluka baca komen itu, apatah lagi waris mangsa. Saya harap individu tersebut akan mohon maaf kepada waris terlibat.

"Kita tidak boleh melawan takdir Allah. Profesional macam mana sekali pun, kalau dah takdir, ia tetap akan berlaku," ujar Farhan yang berpengalaman sebagai anggota bomba selama 15 tahun.

Kawasan di sekitar empangan di Taman Putra Perdana, Puchong, di mana enam anggota penyelamat bomba lemas dalam usaha pencarian dan menyelamat seorang remaja 17 tahun yang terjatuh di sebuah lombong di sini. Foto Bernama

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang remaja yang dilaporkan tergelincir, ketika memancing di lombong di Taman Putra Perdana, Puchong, malam Rabu, bertukar tragedi apabila enam Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) JBPM yang terbabit dalam pencarian itu, lemas akibat terbelit tali di dasar.

Pusaran air deras dipercayai menjadi punca enam anggota bomba mati lemas ketika operasi sedang dijalankan.

Enam anggota bomba yang terkorban adalah Adnan Othman, 33; Mohd Fatah Hashim, 34; Izatul Akma Wan Ibrahim, 32; Mazlan Omarbaki, 25, Yahya Ali, 24, dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25.

bomba

Artikel Berkaitan

Artikel Lain