suria

Pendakwa dedah Rosmah ganggu saksi, minta beri keterangan menyebelahi beliau

KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan memberitahu Mahkamah Sesyen di sini bahawa Datin Seri Rosmah Mansor, yang dikenakan 17 pertuduhan bekaitan pengubahan wang haram melibatkan RM7,097,750,  berjumpa dengan seorang saksi untuk memintanya memberi keterangan yang menyebelahi beliau.

Pesara Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram, yang mengetuai  pasukan  pendakwaan, menyatakan perkara itu ketika memohon mahkamah supaya tidak membenarkan isteri bekas perdana menteri  Datuk Seri Najib Tun Razak itu diikat jamin atas alasan terdapat bahaya besar  gangguan dilakukan terhadap saksi.

“Terdapat faktor lebih penting yang ingin kami maklumkan kepada mahkamah. Apabila pihak  pendakwaan merekodkan kenyataan seorang saksi, tertuduh  (Rosmah) berjumpa dengan saksi itu untuk memintanya memberi keterangan yang menyebelahi beliau. Saya ada satu salinan laporan polis tentang perkara itu,” katanya.

Beliau kemudian mengemukakan laporan polis berkenaan yang dibuat  Suruhanjaya  Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kepada Hakim Azura Alwi , yang mendengar kes itu.

Sri Ram berkata tuduhan yang dihadapi Rosmah merupakan kesalahan yang tidak boleh diikat jamin, tetapi terserahlah kepada budi bicara mahkamah sama ada membenarkan ikat jamin atau sebaliknya.

Menurut beliau, berdasarkan prinsip undang-undang, ikat jamin tidak seharusnya dibenarkan jika terdapat bahaya ketara saksi diganggu.

“Bagaimanapun, kami memohon agar ikat jamin ditetapkan pada RM10 juta dengan dua syarat iaitu tertuduh perlu menyerahkan dua pasportnya dan tidak menghubungi saksi serta mereka yang berpotensi menjadi saksi dari sekarang hinggalah selesai perbicaraan,” katanya.

Peguam Datuk  Geethan Ram Vincent, yang mewakili Rosmah memohon mahkamah menimbang jumlah ikat jamin yang disyorkan pihak pendakwaan itu dengan berkata ikat jamin hanya bertujuan memastikan tertuduh akan hadir di mahkamah.

Beliau berkata dalam menentukan jumlah ikat jamin, pihak pembelaan memberi alasan yang berlandaskan peruntukan undang-undang serta merujuk kepada  beberapa “perkara bertaraf tinggi”, dan jumlah ikat jamin yang ditetapkan mahkamah adalah berpatutan.

"Pertama, dalam kes terbaru, di mana Datuk Seri Najib Razak, yang menghadapi 21 tuduhan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, inti perkaranya melibatkan RM2.6 bilion dan jumlah ikat jamin yang ditetapkan mahkamah ialah RM3.5 juta, manakala dalam kes Datuk Jaya Kumar, yang melibatkan RM16.5 juta, ikat jaminnya ialah RM600,000.

"Berdasarkan kes ini dan tuduhan (dihadapi Rosmah), yang melibatkan RM7 juta, saya mencadangkan agar anak guam saya dikenakan ikat jamin RM250,000. Jumlah itu tepat dan berpatutan bagi memastikan kehadiran beliau di mahkamah nanti,” katanya.

Vincent berkata mahkamah juga perlu mengambil kira faktor bahawa anak guamnya bersedia untuk mematuhi dua syarat yang dimohon pihak pendakwaan.

"Anak guam saya membawa bersama-sama beliau dua dokumen perjalanan beliau untuk diserah kepada mahkamah dan beliau bersedia untuk berjani tidak akan mendekati mana-mana saksi atau mereka yang berpotensi menjadi saksi yang mempunyai kaitan dengan kes pihak pendakwa ini,” katanya.

Beliau berkata Rosmah juga memberi kerjasama penuh kepada SPRM semasa siasatan dan telah dipanggil sebanyak tiga kali oleh suruhanjaya itu untuk memberi kenyataan.

“Kali pertama beliau dipanggil SPRM ialah pada 5 Jun lepas, kali kedua pada 26 Sept dan kali terakhir pada 3 Okt. Beliau tidak pernah gagal untuk hadir serta memberi kerjasama penuh kepada SPRM, walaupun diberi notis singkat oleh suruhanjaya itu.

"Perjalanan beliau ke luar negara telah disekat sejak Mei lepas dan hingga kini, anak guam saya tidak pernah cuba untuk meninggalkan negara ini,” katanya sambil menambah bahawa Rosmah juga tidak  mempunyai rekod lampau.

Peguam Datuk K.Kumaraendran, yang bertindak sebagai peguam utama bagi Rosmah, berkata jumlah yang dicadangkan pihak pendakawaan adalah terlalu berlebihan dan oleh itu beliau memohon kepada mahkamah supaya tidak memberi pertimbangan terhadap dakwaan pihak pendakwaan berhubung gangguan terhadap saksi dalam menentukan jumlah ikat jamin.

Sri Ram membalas hujah itu dengan berkata jumlah ikat jamin yang dicadangkan Vincent tidak munasabah kerana mahkamah perlu menimbang kedudukan Rosmah dalam kehidupan.

“Kedudukan peribadi tertuduh memang tinggi, tetapi keperibadian itu bercanggah dengan apa yang beliau lalui. Paling utama, seseorang yang berkedudukan seperti beliau tidak sepatutnya berada di kandang tertuduh ,” katanya.

Beliau berkata pihak pendakwaan mencadangkan jumlah ikat jamin sebanyak RM10 juta setelah mengambil kira fakta kes, termasuk mengganggu saksi.

Sri Ram juga berhujah bahawa tidak berlaku perbuatan mengganggu saksi seperti yang dirujuk Vincent untuk mahkamah menetapkan jumlah ikat jamin yang munasabah untuk anak guamnya, kecuali dalam kes Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Jumlah yang dimohon pihak pembelaan tidak memadai dan ternyata terlampau rendah. Jika mahkamah berpendapat hujah yang dikemukakan pihak pembelaan adalah betul, maka lebih wajarlah mahkamah menetapkan ikat jamin sebanyak RM1 sahaja,” katanya.

Sementara itu, Vincent juga memberitahu mahkamah bahawa laporan polis yang dibuat SPRM berhubung majlis meraikan perkahwinan anak perempuan Rosmah pada 2006 tidak mempunyai kaitan dengan siasatan terhadap kes anak guamnya itu.

Katanya, majlis itu adalah untuk meraikan perkahwinan anak sulung Rosmah,  Azrene Soraya Abdul Aziz, tetapi namanya tidak disebut dalam laporan berkenaan.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib kemudian memberitahu mahkamah bahawa pihak pendakwaan telah mengemukakan laporan polis bagi menunjukkan bahawa Rosmah berkecenderungan untuk mengganggu saksi.

Azura kemudian membenarkan Rosmah diikat jamin  RM2 juta oleh dua penjamin dan memerintahkannya menyerahkan dua pasport beliau kepada mahkamah dan tidak mengganggu saksi.

Terdahulu,  Rosmah mengangguk dan berkata dia memohon dibicarakan bagi setiap tuduhan yang dibaca kepadanya.

Apabila tuduhan kesembilan hingga ke-12 dibacakan, beliau memohon untuk melihat kertas pertuduhan dan selepas itu mengangguk serta meminta dibicarakan bagi semua pertuduhan.-- Bernama   


Gopal Sri Ram, Rosmah

Artikel Lain