Warga Syria terkandas di KLIA2 tolak jadi pelarian di Malaysia - Semasa | mStar

Warga Syria terkandas di KLIA2 tolak jadi pelarian di Malaysia

Hassan Al Kontar.

PUTRAJAYA: Warga Syria yang terkandas di KLIA2 sejak Mac lalu menolak tawaran sebagai pelarian di Malaysia dan negara-negara lain, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Azis Jamman.

Azis berkata, Hassan Al Contar menegaskan bahawa dia hanya mahu mendapatkan suaka daripada Kanada, tetapi permohonannya boleh mengambil masa selama dua tahun untuk diluluskan.

"Kita tidak boleh membiarkan dia tinggal di lapangan terbang selama dua tahun. Dia juga enggan pergi ke negara lain yang sanggup menerimanya sebagai pelarian," kata Azis pada sidang media, Khamis.

Azis bagaimanapun berkata, beberapa ahli Parlimen berjumpa dengan beliau dan meminta untuk mempertimbangkan situasi Hassan, dan tidak menghantarnya ke Syria.

"Kita minta polis menyiasat perkara ini," katanya.

Hassan ketika ini di bawah tahanan polis, selepas ditahan pada Isnin lalu dan direman selama 14 hari.

Jabatan Imigresen memberitahu, Hassan mungkin akan dihantar pulang ke Syria selepas polis menyelesaikan siasatan.

Hassan bagaimanapun enggan pulang ke negara asalnya, dengan mendakwa bimbang akan berkhidmat sebagai tentera dalam peperangan.

Pemuda berusia 36 tahun itu terkandas di kawasan transit di KLIA2 sejak Mac lalu.

Dia meraih perhatian ramai selepas memuat naik video kehidupannya di terminal lapangan terbang itu di media sosial.

Hassan Al Kontar , KLIA2

Artikel Berkaitan

Lebih Artikel