"Arwah wira keluarga kami" - Semasa | mStar

"Arwah wira keluarga kami"

Orang ramai mengucapkan takziah kepada Norshamiza (tengah) yang tiba di rumah ibu bapa mertuanya di Taman Jaya Lukut, Port Dickson

PORT DICKSON: "Arwah bukan saja wira kepada rakyat Malaysia, tapi wira keluarga kami," kata Rosmadi Othman yang juga abang sulang salah seorang daripada enam anggota bomba yang meninggal dunia ketika operasi menyelamat mangsa lemas di lpmbong Taman Putra Perdana, Puchong, Rabu malam.

Walaupun berat untuk ditanggung, namun mereka sekeluarga reda dengan ketentuan Ilahi dan menyifatkan Allahyarham Adnan yang berusia 33 tahun meninggal dunia dalam keadaan syahid.

"Sedih, memanglah sedih. Tapi, sebagai abang saya berbangga dengan arwah kerana dia pergi ketika menjalankan tugas.

"Sejak awal menyertai pasukan bomba, arwah memang menunjukkan komitmen penuh dalam setiap tugasan dilakukan dan selalu berkongsi cerita dengan keluarga," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di rumah ibu bapanya di Taman Jaya Lukut di sini, Khamis.

Sementara isteri Allahyarham, Norshamiza Salleh, 32, berkata, sebelum kejadian Allahyarham sempat menghantar pesanan ringkas menerusi WhatsApp memberitahu akan pulang lewat kerana terlibat dalam operasi di Cyberjaya.

Namun nalurinya berasa tidak sedap hati dan mendorongnya mencari maklumat di laman Facebook sebelum dihubungi pihak bomba yang mengesahkan tragedi itu.

"Sukar saya nak terima pada mulanya. Tapi bila saya datang ke hospital dan lihat keadaan suami, barulah saya percaya yang dia dah pergi tinggalkan kami.

"Sukar untuk ungkapkan perasaan saya ketika ini. Tapi saya cuba positif kerana suami pergi dalam keadaan baik," katanya.

Norshamiza yang bekerja sebagai pensyarah di Kementerian Kesihatan Malaysia mempunyai dua anak  dengan Allahyarham iaitu Damia berusia empat tahun dan Maisarah dua tahun.

Semalam, media melaporkan enam anggota bomba yang bertugas sebagai Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) maut ketika melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang remaja lelaki berusia 17 tahun yang lemas di lombong itu.

Dalam kejadian itu, empat anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pelabuhan Klang iaitu Mohd Fatah Hashim, 34; Izatul Akma Wan Ibrahim, 32; Mazlan Omarbaki, 25 dan Yahya Ali, 24, serta dua anggota dari BBP Shah Alam iaitu Adnan Othman, 33 dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25, ditemui lemas ketika operasi mencari remaja lelaki berusia 17 tahun yang dilaporkan lemas di lokasi kejadian.


Adnan , bomba , Port Dickson

Artikel Berikut

Operasi SAR 6 bomba ikut SOP

Artikel Berkaitan

Lebih Artikel