suria

Pati Ada Dokumen Sah Pun Guna Laluan Tikus

PETALING JAYA: Laluan tikus bukan sahaja digunakan oleh pendatang asing tanpa izin (Pati) untuk pulang ke negara asal tetapi yang menghairankan apabila ia turut digunakan mereka yang mempunyai permit kerja dan dokumen perjalanan yang sah.

Alasan mereka yang mempunyai dokumen sah ini sekadar mahu menyertai rombongan yang penuh dengan Pati-Pati senegara dan kos pulang ke tanah air menggunakan bot dikatakan jauh lebih murah berbanding feri dan kapal terbang.

Akhirnya warga asing yang mempunyai dokumen lengkap ini terpaksa mengikut jejak Pati lain yang membuat bayaran tambang agak tinggi antara RM600 hingga RM2,500 untuk perjalanan sehala ke Indonesia, kepada ejen-ejen yang dipanggil tekong.

Bayaran itu sebenarnya jauh lebih mahal daripada kos tambang penerbangan sehala dan masih lagi rendah berbanding tambang perjalanan pergi balik.

Sumber Jabatan Imigresen mendedahkan perkara itu kepada mStar Online pada Khamis berkata, ia merupakan senario yang sering berlaku di kalangan Pati yang enggan menyerah diri secara sukarela di pejabat-pejabat Imigresen seluruh negara.

“Sebelum ini terdapat pegawai Imigresen pernah menyamar menjadi sebahagian Pati yang melalui hutan paya bakau di Johor untuk pulang ke Indonesia, bagi menyiasat kegiatan mereka membolos keluar dari negara ini sempena menyambut Aidilfitri.

“Dalam penyamarannya, seorang warga Indonesia didapati sebenarnya mempunyai permit yang sah,” kata sumber itu tanpa mengulas lanjut.

Tidak cukup warga asing terbabit memperjudikan nyawanya tetapi turut ditahan pihak berkuasa kerana menggunakan jalan keluar secara haram untuk pulang ke negara masing-masing.

Tambah sumber itu, ia mungkin disebabkan mentaliti Pati yang masih ditakuk lama atau dipengaruhi rakan senegara menjadikan laluan tikus itu sebagai pilihan terbaik.

“Ada dokumen sah atau tidak, mereka mengambil risiko untuk pulang ke negara asal. Akhirnya, banyak kes bot karam kerana dinaiki beramai-ramai.

“Laluan tikus bayarannya lebih mahal dan ditipu ejen malah cara ini hanya mengancam nyawa mereka sehingga boleh menyebabkan kematian,” katanya yang merujuk beberapa kes bot karam membabitkan Pati, baru-baru ini.

Seramai tiga mangsa mati lemas selepas bot yang dinaiki bersama 18 Pati termasuk seorang tekong dan pembantunya karam, kira-kira 27 kilometer dari barat daya Tanjung Ketapang, Muar pada 24 Julai lalu manakala 12 Pati terkoban dalam tragedi bot pancung karam di perairan Tanjung Piai pada 14 Julai lalu.

“Adalah lebih baik sekiranya Pati menyerah diri secara sukarela di pejabat-pejabat Imigresen untuk pulang ke negara asal kerana cara ini lebih murah dan selamat malah menggunakan laluan yang sah tanpa ditahan pihak berkuasa,” kata sumber itu.

Pada Khamis, mStar Online melaporkan bahawa kerajaan menguatkuasakan program serahan diri sejak 21 Julai lalu yang menawarkan Pati pulang ke negara asal, dengan hanya perlu membayar RM400 untuk kompaun dan pas khas RM100, selain perlu memenuhi syarat mempunyai dokumen perjalanan dan tiket perjalanan pulang.

Mereka kemudiannya akan dibenarkan  tinggal sementara di negara ini menggunakan pas khas selama 14 hari sebelum pulang ke negara asal.

Timbalan Ketua Pengarah (Kawalan) Jabatan Imigresen, Datuk Sakib Kusmi berkata, program serahan diri merupakan satu lagi inisiatif kerajaan dalam menangani isu Pati di negara ini.

Antara lain ia turut membantu mengurangkan kos kerajaan membiayai Pati yang ditahan di depot tahanan Imigresen seluruh negara dan mempertingkatkan kecekapan operasi terutama penguatkuasaan dalam membanteras Pati.

Sejak program serahan diri dikuatkuasakan sehingga kini, ia mencatatkan rekod memberangsangkan apabila lebih 3,000 Pati sudah mendapat manfaat daripadanya.

Menurut Sakib, sebelum ini, 15,109 Pati tampil di pejabat Imigresen antara Januari hingga Jun lalu untuk menyerah diri dengan alasan mahu pulang ke negara mereka.

“Jumlah serahan diri Pati selepas ini dijangka meningkat lebih sekali ganda berbanding sebelum ini, menjelang akhir tahun ini,” katanya. 

 

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain