suria

Fad Bocey akui peluang ke TV makin tipis, terpaksa cari jalan sendiri... “Memang berkecil hatilah”

Fad Bocey mengakui landskap hiburan semasa memberi cabaran besar kepada kelangsungan kerjaya pelawak tempatan.

BERDEPAN realiti industri hiburan yang kian berubah, pelawak Fad Bocey mengakui perjalanan seni golongan pelawak ketika ini tidak lagi semeriah dahulu, namun dia reda menerima hakikat bahawa setiap penggiat seni pasti melalui fasa turun naik dalam kerjaya masing-masing.

Fad atau Muhammad Fadzlie Mohd Nizam, 34, berkata, sama ada mahu atau tidak, semua penggiat industri merangkumi pelawak, penyanyi dan pelakon akan melalui pusingan di atas dan di bawah ibarat roda. 

"Itulah sebabnya saya namakan kumpulan saya Roda ketika menyertai program realiti Muzikal Lawak Superstar tahun lalu bersama Sharif dan Naqiu.

"Kadang kita di atas kadang di bawah. Sekarang kitaran pelawak ini dah bepusing balik ke kitaran yang bawah sikit. Kami pun dah tak ada rumah sejak saluran Astro Warna ditutup.

Fad Bocey berkongsi pandangan mengenai realiti industri pelawak yang semakin berubah dan mencabar.

"Jadi kalau tanya saya sekarang, semua pelawak yang saya rapatlah, masing-masing ada inisiatif sendiri untuk kelangsungan hidup," katanya yang ditemui pada Sidang Media Selangor Havoc Raya Fest 2.0 2026 di Setia City Convention Centre, baru-baru ini.

Menurut Fad, perubahan landskap hiburan menyebabkan peluang pelawak untuk muncul di kaca televisyen semakin terhad sekali gus memaksa mereka mencari alternatif lain bagi meneruskan kelangsungan hidup dalam industri.

"Kami mungkin dah tak dapat muncul di TV. Terus terang saya cakap, 14 tahun dalam industri, hanya setahun sekali saya muncul dalam TV. Itu pun hanya bila bertanding.

"Kadang-kadang nak kata kecil hati, memang kecil hatilah. Apa-apa anugerah pun tak pernah dijemput.

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Morning-Morning Suria’ ada penyampai radio baru! Fad Bocey kini bergandingan dengan Ajak

ARTIKEL BERKAITAN: Bukan mudah buat orang ketawa, Achey tak setuju tanggapan zaman pelawak dah ‘mati’

"Tapi kami okay sebab kami pun bukanlah rasa macam kami ini penting.

"Tiada masalah pun. Cuma sekarang suasana dah bertukar memandangkan pempengaruh makin ramai. Jadi kita kena bersaing dengan banyak orang dan muka baru yang mendominasi industri," katanya.

Dalam masa sama, Fad berkata dia turut mencari sumber pendapatan lain dengan menyertai festival jualan anjuran Havoc yang dianjurkan di pelbagai lokasi seluruh negara.

Fad Bocey bersyukur diberi rezeki untuk menggalas tanggungjawab sebagai pengacara rasmi  Selangor Havoc Raya Fest 2.0 2026.

"Alhamdulillah, Havoc ini saya rasa rezekilah. Walaupun mungkin tak akan keluar di TV, tapi kami dah ada perancangan-perancangan kami sendiri.

"Mungkin kami kena bergerak sendiri. Pergi ke negeri-negeri yang orang daripada dulu support kami," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Fad akan menggalas tanggungjawab sebagai pengacara rasmi Selangor Havoc Raya Fest 2.0 2026 bersama Sharif Zero dan Danial Zaini yang dijadualkan berlangsung di Setia City Convention Centre, Setia Alam dari 12 hingga 16 Mac ini.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain