suria

Kumpulan Pengguna Desak Kerajaan Selangor Dedah Rancangan Elak Krisis Air

PETALING JAYA: Semasa proses catuan air yang dilaksanakan antara Februari dan Mac lalu, paras air di empangan Sungai Selangor adalah sebanyak 37%. 

Namun, kini ia berada pada paras 33.46%.

Selangor kini bakal berdepan krisis air dan kumpulan pengguna mahu kerajaan negeri mendedahkan pelan mereka bagi mengelak masalah ini.

Pengurus Forum Air Malaysia, Foon Weng Lian berkata kerajaan negeri bertanggungjawab untuk memaklumkan kepada pengguna mengenai situasi semasa berhubung perkara ini.

Fong berkata badan bukan kerajaan (NGO) ini, yang dilantik oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk mewakili pengguna dalam isu bekalan air dan perkhidmatan pembentungan, bimbang mengenai maklumat yang tidak disampaikan kepada pengguna.

"Setakat ini, ia hanya khabar angin dan keprihatinan kami adalah maklumat yang tidak disampaikan," katanya.

Empangan itu berfungsi sebagai rizab untuk Sungai Selangor yang membekalkan 60% keperluan air mentah di Lembah Klang dan Putrajaya.

Selain daripada mengepam air dari kolam lombang yang tidak digunakan di Bestari Jaya ke dalam Sungai Selangor, Fong berkata kerajaan Selangor tidak mendedahkan pendekatan lain untuk menghadapi krisis ini.

Foon mendesak SPAN supaya tidak menunggu paras air di rizab mencecah 30% sebelum mengambil sebarang tindakan.

Presiden Persatuan Perlindungan Alam Sekitar Malaysia, Nithi Nesadurai yang bersetuju mengenai maklumat yang kurang disampaikan kepada pengguna, berkata adalah jelas masalah akan berlaku jika kemarau berterusan.

Beliau berkata kerajaan perlu lebih proaktif dan tidak menunggu sebelum krisis semakin meruncing.

"Mereka  sudah tentu perlu bersikap lebih terbuka dan harus berkomunikasi dengan pengguna yang boleh menjadi sebahagian daripada penyelesaian kepada masalah ini," katanya.

Rancangan untuk menyalurkan air dari Pahang tidak mungkin direalisasikan dalam masa terdekat.

Pengarah  Projek Penyaluran Air Mentah Pahang-Selangor, Dr Zullkefle Nordin berkata, projek percubaan itu akan bermula pada November.

Dr Zullkefle berkata, buat masa ini sehingga projek Langat 2 selesai, air dari Pahang boleh dihantar ke loji rawatan air Batu 11 Cheras dan Bukit Tampoi.

Loji di Batu 11 boleh membekalkan kira-kira 22 juta liter air terawat setiap hari manakala Bukit Tampoi mampu membekalkan 34 juta liter air setiap hari.

Saluran paip bernilai RM5 juta untuk menyalurkan 500 juta liter air setiap hari dari hujung terowong ke Sungai Langat kini sedang dibina.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain