HANYA kerana menyapa jiran menggunakan nama tanpa panggilan puji-pujian atau kata hormat 'abang', seorang lelaki tidak menyangka teguran mesra itu bertukar menjadi tragedi pertumpahan darah yang meragut satu nyawa.Dalam kejadian berdarah di Muradnagar, India itu, seorang petani berusia 55 tahun maut di tempat kejadian, manakala sekurang-kurangnya lima lagi individu cedera parah selepas diserang secara brutal menggunakan pedang, pisau, dan kayu. Insiden berkenaan bermula kira-kira pukul 4.30 petang Ahad apabila seorang lelaki, Rishant, keluar dari rumahnya untuk menguruskan beberapa urusan harian.Dia kemudiannya terserempak dengan jiran yang dikenali sebagai Sonu sebelum bertanyakan keadaan lelaki berkenaan."Sonu, adakah semuanya baik-baik sahaja?" demikian pertanyaan ringkas daripada Rishant.Pertanyaan tersebut bagaimanapun mengundang marah Sonu kerana beranggapan Rishant tidak menghormatinya susulan namanya tidak disebut sebagai ‘Sonu bhai’.Pertengkaran kemudian tercetus sebelum kedua-duanya menghubungi ahli keluarga masing-masing sehingga keadaan menjadi semakin tegang.Laporan polis yang dibuat abang Rishant iaitu Manoj Kumar menyatakan bapa saudara mereka, Devendra Sharma yang kebetulan melalui kawasan tersebut cuba masuk campur bagi menenangkan keadaan.Bagaimanapun, Sonu dan ahli keluarganya didakwa mula memukul Devendra serta Rishant menggunakan pedang dan pisau, manakala beberapa individu lain menyerang mereka dengan kayu."Bapa saudara saya mengalami lebih lapan kecederaan akibat ditetak pedang dan ditikam pisau, selain cedera pada perut, muka serta bahu."Lebih tiga individu memukulnya tanpa henti sebelum meninggalkan dia berhampiran sebuah tanah kosong selepas tidak sedarkan diri," dakwa Manoj.Lima lagi ahli keluarganya termasuk Rishant turut mengalami kecederaan parah dalam pergaduhan tersebut.Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya Polis Luar Bandar, Surendra Nath Tiwari mengesahkan pihaknya menerima laporan dan tindakan susulan sedang dijalankan ke atas lapan individu yang dikenal pasti serta beberapa suspek lain."Setakat ini kami sudah menahan tiga individu iaitu Sonu, Prince dan Soyab."Beberapa pasukan turut dibentuk bagi mengesan suspek lain yang terlibat dalam kes ini," katanya. -Agensi