HANYA kerana enggan menggugurkan kandungan dan berulang kali mendesak kekasihnya supaya berkahwin, seorang wanita hamil dibunuh dengan kejam oleh kekasih dan isteri lelaki berkenaan.Lebih mengerikan, kepala mangsa didakwa dicukur dan dihancurkan menjadi cebisan kecil semata-mata untuk menyukarkan pihak berkuasa mengenal pasti identitinya. Berdasarkan laporan Times Of India pada Selasa, mangsa, Hayathun Nisha, 38, yang berasal dari Odisha, India dipercayai dibunuh di sebuah rumah sewa di Mosque Street, Guduvanchery pada awal Ogos lalu.Sebahagian anggota badannya kemudian ditemukan di dalam sebuah beg pakaian berwarna merah yang ditinggalkan di gerabak kelas biasa kereta api Tamil Nadu Express di Stesen Kereta Api Agra Cantonment, dalam perjalanan dari Chennai Central menuju New Delhi pada 3 Ogos lalu.Misteri itu terbongkar dua hari kemudian apabila polis kereta api memeriksa beg pakaian tidak bertuan berkenaan sebelum membuat penemuan mengerikan anggota badan manusia di dalamnya.Penemuan itu membuatkan pasukan penyiasat meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di Chennai Central serta beberapa stesen lain sepanjang laluannya.Hasil rakaman menunjukkan seorang lelaki dan wanita membawa beg pakaian tersebut, sekali gus membantu polis menjejaki pergerakan mereka sehingga ke Guduvanchery.Dengan bantuan rakaman CCTV, data telefon bimbit dan bukti teknikal lain, polis mengesan Manik Uddin Laskar, 22, serta isterinya, Bhagabati Majhi.Pasangan berkenaan ditemukan di Kashimpur, daerah Jiribam di Manipur pada Sabtu sebelum ditahan dan dibawa ke Guduvanchery keesokan harinya bagi membantu siasatan.Hasil maklumat yang diperoleh, polis ke rumah sewa di Mosque Street yang didiami Nisha sekali gus membongkarkan lebih banyak anggota badan mangsa di dalam sebuah periuk besar.Menurut polis, siasatan terhadap hubungan Nisha dan Manik mendapati mangsa dipercayai hamil serta enggan menggugurkan kandungannya.Nisha juga dikatakan berulang kali mendesak Manik supaya mengahwininya sehingga menyebabkan mereka sering bertengkar.Situasi tersebut mendorong polis mengesyaki Manik dan isterinya merancang pembunuhan mangsa sebelum mengerat mayatnya.Ketika disoal siasat, pasangan itu didakwa memberitahu polis bahawa kepala Nisha dicukur selepas dipisahkan daripada badannya.Mereka pada awalnya cuba memasukkan bahagian tersebut ke dalam beg pakaian, namun gagal kerana tidak muat sebelum bertindak menghancurkannya kepada bahagian lebih kecil. -Agensi