DEMI membiayai pengajian dua anak perempuannya, seorang ibu tunggal nekad menyertai perlumbaan larian sejauh tiga kilometer secara mengejut dan tidak disangka-sangka muncul sebagai juara.Lebih menyentuh hati, wanita yang bekerja sebagai tukang masak itu terpaksa menanggalkan seliparnya yang kerap tertanggal ketika perlumbaan lalu meneruskan larian dengan berkaki ayam hingga melintasi garisan penamat.Berdasarkan laporan, acara dikenali sebagai ‘Amrit Daud’ itu dianjurkan Bharatiya Shikshan Prasarak Sanstha pada pagi Sabtu, 29 Ogos lalu di Ambajogai, daerah Beed, Maharashtra, India. Ia diadakan sempena sambutan ulang tahun ke-75 Kompleks Pendidikan Kholeshwar.Perlumbaan sejauh kira-kira tiga kilometer itu bermula dari Chhatrapati Shivaji Maharaj Chowk dan berakhir di Bhagwan Baba Chowk.Ketika berada di garisan permulaan, Ramabai yang memakai sari kapas dan berdiri di barisan belakang berlari dengan memakai selipar.Namun dia terpaksa menanggalkannya selepas selipar tersebut beberapa kali hampir tercabut dan mengganggu lariannya.Ekoran itu, dia kemudian memegang seliparnya dan meneruskan larian dengan berkaki ayam sambil sebelah tangan menggenggam hujung sari sehingga akhirnya menjadi individu pertama melintasi garisan penamat.Hasil kegigihan tanpa sebarang latihan awal itu, Ramabai berjaya membawa pulang sebuah trofi serta hadiah wang tunai sebanyak 3,000 rupee (sekitar RM140). -Agensi